Penjana: Kerajaan salurkan pinjaman lebih RM1 bilion untuk PKS | DagangNews Skip to main content

Penjana: Kerajaan salurkan pinjaman lebih RM1 bilion untuk PKS

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Kerajaan telah meluluskan pinjaman sehingga RM1.033 bilion setakat 13 November lalu untuk disalurkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Pinjaman itu disalurkan menerusi Pembiayaan PKS Penjana yang mencatatkan peruntukan dana berjumlah RM2 bilion kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.

 

“Kedua, Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 bilion.

 

“lnisiatif ini bertujuan menyokong perusahaan mikro kecil dan sederhana tempatan dalam sektor pelancongan yang terkesan akibat COVID-19.

 

Setakat 13 November 2020, terdapat 478 PKS yang telah menyerahkan permohonan mereka, dan daripada jumlah ini sebanyak 208 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM41.8 juta,” kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

 

Kadar pembiayaan sebanyak 3.5% itu dapat membantu usahawan sektor pelancongan dari segi modal kerja dan perbelanjaan modal sehingga tujuh tahun bagi tempoh pembiayaan.

 

Tengku Zafrul menyampaikan Laporan Laksana ke-30 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) serta Kita Prihatin.

 

Sementara itu, kerajaan juga telah menyalurkan sebanyak RM86.7 juta kepada 13,042 PKS Mikro setakat 13 November 2020.

 

Bantuan itu disampaikan menerusi Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN atau TEKUN Business Recovery Scheme (TBRS) khas untuk PKS Mikro.

 

Dalam pada itu, sehingga 13 November 2020, sebanyak RM197.7 juta telah disalurkan kepada 5,570 PKS Mikro merangkumi bidang peruncitan dan perkhidmatan menerusi Pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN). – DagangNews.com