Penjawat awam Sarawak terima bonus sebulan setengah gaji | DagangNews Skip to main content

Penjawat awam Sarawak terima bonus sebulan setengah gaji

Sarawak

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Penjawat awam di negari Sarawak menerima khabar gembira melalui pengumuman insentif khas sebulan setengah gaji pokok atau minimum RM2,000 yang akan diterima sebelum penghujung tahun ini.

Mengumumkan insentif berkenaan, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kakitangan perkhidmatan awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak juga akan diberi insentif pada suku pertama tahun hadapan.

"Sebagai menghargai pengorbanan kakitangan perkhidmatan awam Persekutuan yang telah menyumbang khidmat bakti di Sarawak, mereka akan turut dibayar insentif secara one-off RM500 pada suku pertama 2021. 

 

Abang Johari Tun Openg
Abang Johari Tun Openg

 

“Semasa pandemik COVID-19, anggota Perkhidmatan Awam Sarawak dan Perkhidmatan Awam Persekutuan termasuk doktor, jururawat, pekerja kesihatan, badan beruniform, imigresen dan kakitangan barisan hadapan lain, bekerja tanpa mengira penat lelah untuk menjaga rakyat kita.

“Syukur Alhamdulillah, wabak COVID-19 telah dapat dikawal pada tahap yang baik," katanya dalam ucapan pergulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini, lapor BERNAMA.

Tambah beliau, anggota perkhidmatan awam yang bertugas dan bekerja di belakang tabir turut memberi khidmat yang terbaik dalam tugasan.

"Mereka (petugas) telah mempertaruhkan keselamatan diri dan mengorbankan keselesaan. 

"Terdapat juga ramai anggota perkhidmatan awam yang bekerja di belakang tadbir, namun bekerja dengan penuh tekun dan ikhlas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Kepada mereka semua, saya mengucapkan terima kasih,” katanya lagi. - DagangNews.com