KUALA LUMPUR 12 Sept - Penjual tempatan yang mengambil bahagian buat kali pertama dalam Shopee 9.9 Hari Pembelian Hebat mencatatkan peningkatan jualan lebih daripada lima kali ganda pada 9 September lalu berbanding hari-hari biasa.
Produk kesihatan dan kecantikan, kelengkapan rumah dan kehidupan selain barang mudah alih serta aksesori menjadi kategori paling popular semasa hari kemuncak festival membeli-belah tersebut.
Pelitup muka bagaimanapun menjadi produk terlaris pada 9 September 2022 walaupun pemakaiannya tidak lagi diwajibkan dalam bangunan kecuali situasi tertentu.
Selain Lembah Klang, Johor Bahru, Kinta, Seremban, Melaka Tengah, Kuching dan Kota Bharu mencatatkan pembelian tertinggi pada 9 Sember 2022.
Sepanjang tempoh kempen bermula 26 Ogos hingga 9 September 2022, rakyat Malaysia menghabiskan lebih 2 juta jam untuk menonton strim di Shopee Live selain Shopee Prizes dimainkan sebanyak lebih 24 juta kali dalam tempoh yang sama.
ShopeePay menjadi kaedah pembayaran pilihan oleh pengguna apabila membeli barangan di Shopee semasa 9.9 Hari Pembelian Hebat dan dalam tempoh dua jam pertama pada 9 September 2022, peningkatan sebanyak sembilan kali ganda kali ganda direkodkan untuk pesanan yang dibayar menggunakan ShopeePay, berbanding hari biasa.
Ketua Kempen Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat memainkan peranan dalam membantu penjual tempatan di platform kami mencapai tahap peningkatan jualan yang signifikan semasa 9.9 Hari Pembelian Hebat.
"Kami dapat menyaksikan bahawa alat pemasaran dan ciri penglibatan penjual (seller engagement features) kami memperkasakan PMKS untuk menerokai peluang pertumbuhan dalam ekonomi digital. Shopee berasa teruja untuk terus meningkatkan jualan mereka semasa tempoh akhir tahun, sambil membolehkan rakyat Malaysia menikmati penjimatan terbaik di platform kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, ShopeeFood sejak bermula pada bulan November 2021 telah membantu ramai pengguna untuk berhubung dengan peniaga besar mahupun kecil melalui platform bersepadu yang disediakan oleh Shopee.
Peniaga mikro terutamanya mendapat manfaat besar daripada ekosistem tersebut kerana platform tersebut membantu para peniaga mengembangkan perniagaan mereka dalam tempoh pasca pandemik, dengan menghubungkan mereka kepada pangkalan pengguna dalam talian yang luas di aplikasi mudah alih Shopee. - DagangNews.com