KUALA LUMPUR 6 Sept - Penjualan tiga hospital kepada Al-'Aqar Healthcare REIT berjumlah RM192 juta hanya memberi impak neutral kepada pendapatan KPJ Healthcare Bhd.
Menurut Maybank Investment Bank (IB), tidak termasuk keuntungan sekali sahaja berjumlah RM3.8 juta, pertambahan daripada pendapatan pengagihan yang lebih tinggi daripada Al-'Aqar, dan susut nilai yang lebih rendah, perbelanjaan faedah dan lain-lain dipindahkan kepada Al-'Aqar akan diimbangi dengan perbelanjaan pajakan baharu 3 hospital tersebut.
Katanya, ia menghasilkan kesan negatif kecil sebanyak RM1.4 juta kepada tahap sebelum cukai kumpulan KPJ, atau 0.7% daripada keuntungan sebelum cukai tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).
"Sebanyak RM135 juta daripada jumlah hasil akan digunakan untuk membayar balik sukuk dan kemudahan perbankan lain, manakala RM25 juta untuk pembesaran hospital, RM5 juta untuk modal kerja am dan baki untuk perbelanjaan transaksi berkaitan.
"Bayaran balik pinjaman ini boleh menurunkan gearing bersih KPJ daripada 68% kepada 62%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Al-'Aqar berkata, ia membeli Bangunan Pusat Penjagaan Kesihatan TMC di Taiping, Perak berjumlah RM14.3 juta, Bangunan Hospital Pakar KPJ Seremban sebanyak RM84.7 juta dan Hospital Pakar Pasir Gudang di Johor sebanyak RM93 juta.
Pengambilalihan itu menurutnya, dianggap sebagai urus niaga pihak berkaitan memandangkan kedua-dua entiti mempunyai pemegang saham utama yang sama, Johor Corp.
Pemegang amanahnya, Amanahraya Trustees Bhd dan pengurusnya Damansara REIT Managers Sdn Bhd telah memeterai perjanjian pajakan dengan tiga anak syarikat KPJ Healthcare berkenaan.
Johor Corp adalah pemegang unit utama Al-'Aqar dengan kepentingan tidak langsung 36.56 peratus dan ia juga pemegang saham utama KPJ Healthcare, dengan 35.58 peratus kepentingan langsung dan 9.63 peratus kepentingan tidak langsung.
Menurut Maybank IB, langkah itu seterusnya membolehkan lebih banyak modal untuk menambah baik kunci kira-kira KPJ dan menyediakan sedikit modal untuk membiayai inisiatif pengembangannya.
Katanya, memandangkan kadar penggunaan katil semakin menghampiri paras sebelum pandemik, KPJ merancang untuk meningkatkan kapasiti katil, dengan melancarkan lebih banyak pusat penjagaan ambulans (ACC), dengan sasaran 25 ACC menjelang 2027 berbanding satu ketika ini.
"Ia juga termasuk penubuhan 6 pusat jagaan kuaternari di dalam portfolio hospital dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang sebagai sebahagian daripada program transformasi operasi jangka panjang," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap KPJ dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.01 sesaham.
Setakat 11.23 pagi, harga sahamnya menokok 1 sen atau 1.16% kepada 87 sen dengan 101,700 saham diniagakan. - DagangNews.com