Pensijilan hijau perkukuh komitmen BioEneco hasilkan produk biojisim mampan | DagangNews Skip to main content

Pensijilan hijau perkukuh komitmen BioEneco hasilkan produk biojisim mampan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mei - Pengeluar, pengilang dan pembekal bahan api biojisim terkemuka di Malaysia, Bio Eneco Sdn Bhd meraih pensijilan Label Emas Hijau (GGL), yang mana mengukuhkan komitmen syarikat menyediakan produk biojisim berkualiti yang mampan.

 

Ditubuhkan pada 2002, GGL merupakan program pensijilan antarabangsa untuk biojisim mampan yang dimiliki oleh Green Gold Label Foundation dan merupakan antara skim pensijilan biojisim terawal.

 

BioEneco dalam kenyataan hari ini berkata, syarikat memperoleh pensijilan GGL berikutan keupayaan untuk mematuhi dan akur terhadap undang-undang dan peraturan berkanun luar.

 

Katanya, ia termasuk penyumberan yang mampan dan sah, serta keadaan kerja yang adil.

 

"Di Malaysia, terdapat kira-kira empat pengeluar biojisim untuk Kulit Inti Sawit (PKS), termasuk BioEneco, yang menerima pensijilan GGL setakat Mei 2023. 

 

"Ini mengukuhkan lagi kedudukan syarikat sebagai satu daripada pengeluar dan pembekal bahan api biojisim terkemuka di Malaysia," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan BioEneco, Oliver Yeo berkata, pensijilan mencerminkan usaha mereka dalam memastikan amalan perniagaan patuh peraturan dan mampan. 

 

 

bioeneco
                                   Oliver Yeo

 

 

Bagaimanapun katanya, pihaknya yakin ia hanyalah permulaan perjalanan dalam menyediakan produk biojisim antarabangsa kepada pelanggan.

 

"Melangkah ke hadapan, kami akan terus memacu perubahan positif dalam operasi perniagaan yang mampan kepada alam sekitar tetapi kecekapan tinggi," katanya.

 

BioEneco juga memperoleh paten daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada September 2022 untuk barisan pengeluarannya. 

 

Teknologi tinggi yang dipatenkan itu membolehkan barisan pengeluaran BioEneco membuang kekotoran daripada Tempurung Inti Sawit (PKS) dengan cekap dan melengkapkannya dengan sistem pensterilan UV untuk membunuh bakteria. - DagangNews.com