Pensijilan RSPO ladang sawit dorong pemuliharaan biodiversiti | DagangNews Skip to main content

Pensijilan RSPO ladang sawit dorong pemuliharaan biodiversiti

Ladang sawit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 April - Ladang sawit yang diuruskan dengan baik dan mendapat pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) menjadi faktor kepada pemuliharaan biodiversiti.

 

Perkara tersebut dibuktikan melalui hasil kajian yang dijalankan oleh RSPO dan syarikat perundingan saintifik, Borneo Futures pada akhir 2019.

 

Borneo Futures adalah syarikat yang menjalankan projek dengan fokus terhadap sains inovatif yang memberi maklumat tentang amalan dan dasar pengurusan alam sekitar dalam kawasan hutan tropika.

 

Kajian tersebut menilai sama ada proses pensijilan RSPO boleh atau telah menyumbang kepada perlindungan spesies dan landskap serta mengenal pasti peluang peningkatan.

 

Kajian yang dijalankan itu menerangkan tentang manfaat pemuliharaan yang jelas daripada pengurusan ladang biodiversiti yang mapan, namun tidak dapat dikaitkan secara konklusif terhadap pensijilan RSPO.

 

Pengarah dan Penyelidik Borneo Futures, Dr. Erik Meijaard berkata, hasil tinjauan menunjukkan kepelbagaian spesies dan lebihan tanaman sawit monokultur adalah kurang daripada hutan semulajadi yang dilindungi.

 

Jelasnya, lima syarikat yang ditinjau tetap mengekalkan biodiversiti yang penting.

 

"Ini menunjukkan bahawa ladang sawit yang diuruskan dengan baik dan diperakui oleh RSPO boleh memainkan peranan dalam pemuliharaan biodiversiti melalui sokongan dan pengekalan tahap biodiversiti yang signifikan," ujarnya.

 

RSPO turut mengenal pasti isu berkenaan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk menentukan sistem dan amalan terbaik.

 

Usaha berkenaan adalah untuk melaksanakan pengurusan biodiversiti yang cekap di ladang-ladang sawit. - DagangNews.com