Penumpang dinasihat tiba di KLIA empat jam sebelum berlepas - MAHB | DagangNews Skip to main content

Penumpang dinasihat tiba di KLIA empat jam sebelum berlepas - MAHB

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Memandangkan musim kemuncak perjalanan dan tempoh perayaan akan datang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menasihatkan semua penumpang untuk merancang perjalanan mereka dengan sewajarnya dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) lebih awal. 

 

Malaysia Airports berkata, adalah disyorkan untuk penumpang yang berlepas dari KLIA untuk penerbangan domestik dan antarabangsa tiba sekurang-kurangnya empat jam sebelum berlepas.

 

Katanya, nasihat perjalanan itu dikeluarkan untuk memastikan pengalaman penumpang yang lancar dan cekap semasa masa peningkatan permintaan untuk perjalanan udara. 

 

"Musim cuti biasanya menyaksikan lonjakan dalam trafik penumpang, dan tiba lebih awal akan membolehkan penumpang menavigasi melalui proses daftar masuk, keselamatan dan menaiki pesawat dengan kelewatan yang minimum," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA menjangkakan purata pergerakan trafik penumpang harian masing-masing sebanyak 79,200 dan 66,400 sehingga akhir tahun.

 

Tambahan pula katanya, Terminal 1 KLIA kini sedang menaik taraf sistem pengendalian bagasinya sebagai sebahagian daripada program penggantian asetnya untuk meningkatkan kecekapan operasi. 

 

"Peningkatan ini merupakan satu inisiatif penting untuk mengekalkan dan menambah baik keseluruhan infrastruktur lapangan terbang. Kerja-kerja yang sedang dijalankan mungkin membawa kepada masa pemprosesan tambahan di pelbagai tempat dalam lapangan terbang," katanya.

 

Katanya, penumpang digalakkan untuk bekerjasama dengan kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan dalam tempoh ini dan memberi masa tambahan untuk menampung sebarang kelewatan yang tidak dijangka. 

 

Malaysia Airports menghargai pemahaman dan kesabaran semua penumpang kerana peningkatan penting ini dilaksanakan untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan cekap dalam jangka masa panjang. - DagangNews.com