Penutupan kilang Bestari Jaya, Maybank IB semak turun unjuran pendapatan Hartalega bagi FY24 sebanyak 83% | DagangNews Skip to main content

Penutupan kilang Bestari Jaya, Maybank IB semak turun unjuran pendapatan Hartalega bagi FY24 sebanyak 83%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan Hartalega Holdings Berhad bagi FY24/FY25 sebanyak 83% dan 69% selaras dengan keputusan kumpulan itu menutup kilang mereka di Bestari Jaya.

 

Firma itu berkata, penutupan kilang itu akan menyaksikan kumpulan itu mencatatkan penurunan kapasiti pengeluaran sebanyak 26% kepada 31 bilion keping sarung tangan setahun.

 

Katanya, kos penutupan kilang mencecah lebih RM70 juta akan diimbangi dengan kadar penggunaan loji lebih tinggi antara 60% hingga 75% dan kos susut nilai lebih rendah (RM40 juta).

 

"Kunci kira-kira kekal kukuh pada akhir Mac 2023 dengan RM1.6 bilion tunai bersih," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan rugi bersih RM302.76 juta bagi 4QFY23.

 

Selaras dengan itu, kumpulan mengiktiraf kerugian rosot nilai sebanyak RM347 juta, mengakibatkan kerugian bersih RM218 juta untuk FY23.

 

Firma itu berkata, usaha kumpulan itu untuk menaikkan purata harga jualan (ASP) menghadapi tentangan kuat daripada pembeli dan kenaikan harga mungkin menjejaskan kadar penggunaan loji pada suku tahun akan datang.

 

Katanya, penutupan kilang di Bestari Jaya akan meningkatkan daya saing kumpulan dengan kos pengeluaran lebih rendah disebabkan oleh mesin yang lebih baharu dan produktiviti yang lebih baik.

 

"Kumpulan itu akan mengiktiraf kos berkaitan penutupan kilang Bestari Jaya sebanyak RM70 juta dalam tempoh enam bulan akan datang.

 

"Sekiranya terdapat peningkatan dalam permintaan, kumpulan itu mempunyai pilihan untuk mengembangkan kapasitinya melalui kemudahan NGC1.5," katanya. - DagangNews.com