Penutupan kilang Power Root, CGS-CIMB kekal negatif | DagangNews Skip to main content

Penutupan kilang Power Root, CGS-CIMB kekal negatif

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Keputusan Power Root Bhd menghentikan sementara operasi kilangnya di Johor dilihat negatif meskipun memberi impak yang minimum kepada unjuran pendapatan syarikat.

 

Kilang itu dijangka meneruskan semula operasi secara berperingkat pada 7 Julai atau lebih awal, tertakluk kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.

 

Penganalisis CGS-CIMB, Walter Aw berkata, anggaran itu mengambil kira inventori sedia ada yang boleh menampung jumlah kerugian sepanjang penutupan kilang tersebut. 

 

"Kami menjangkakan kerugian ini adalah minimum kepada pendapatan Power Root bagi tahun kewangan 2022. 

 

"Tambahan pula, kami yakin syarikat boleh meningkatkan pengeluarannya dengan melanjutkan tempoh syif  apabila aktiviti pembuatan kembali beroperasi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, Power Root memaklumkan menghentikan sementara operasi kilangnya di Johor untuk melaksanakan kerja sanitasi bagi membendung penyebaran COVID-19.

 

Langkah itu dijangka menyebabkan penangguhan penghantaran kepada pelanggan eksportnya.

 

Kumpulan itu berkata, anak syarikatnya, Power Root (M) Sdn Bhd diarahkan oleh Kementerian Kesihatan untuk menggantung sementara operasi di kilang terletak dekat Taman Perindustrian Plentong di Masai.

 

Berdasarkan semakan CGS-CIMB, didapati lebih 20 pekerjanya adalah positif setakat ini, daripada keseluruhan anggaran tenaga kerja berjumlah 300 orang.

 

Kebanyakan yang terjejas adalah daripada kilang pengeluaran minuman pracampuran yang merangkumi 75% daripada jumlah pendapatan kumpulan pada suku ketiga 2021.

 

Ini bermakna, kilang pengeluaran produk sedia diminum (25% daripada pendapatan) adalah tidak terjejas kerana berada di lokasi berbeza.

 

Bagaimanapun, Walter berkata, kilang tersebut mungkin dapat beroperasi lebih awal tetapi tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

 

Menurutnya, di sebalik langkah penutupan kilang itu, prospek Power Root bagi tempoh sederhana masih kekal lemah disebabkan jualan eksport dan kos bahan mentah yang tinggi.

 

"Antara faktor lain termasuklah, permintaan pengguna yang rendah disebabkan pandemik COVID-19 (bagi pasaran domestik dan eksport) dan jumlah pengeluaran perlahan berikutan pelaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP). 

 

"Namun, kami belum mengambil kira faktor kesan PKP ini bagi unjuran pendapatan sesaham untuk tahun kewangan 2022 dan 2024," jelasnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Power Root dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.61. - DagangNews.com