Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Penutupan enam kilang pengeluaran sarung tangan getah oleh Supermax Corporation Berhad (SCB) di Meru, Klang selama tiga hari dijangka mengikis 0.4% daripada unjuran tahun kewangan 2021 (FY21).
Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, Supermax menutup kesemua kilangnya di Meru susulan terdapat pekerjanya yang disahkan positif COVID-19.
Untuk rekod, SCB mempunyai 12 kilang di mana enam daripadanya terletak di Meru.
Menurut jangkaan CGS-CIMB Research, keenam-enam kilang berkenaan menyumbang 50% daripada jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 26.2 bilion unit setiap tahun.
“Dalam pada itu, analisis mendalam kami mendapati sekiranya enam kilang itu tidak beroperasi selama seminggu, unjuran keuntungan bersih FY21 bagi SCB akan dikurangkan sebanyak 1%,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya hari ini.
SCB mengumumkan kesemua kilangnya di kawasan Meru akan ditutup selama tiga hari bermula hari ini hingga 12 Februari.
Ini adalah selari dengan garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) selepas mendapati beberapa kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja kilang SCB.
CGS-CIMB difahamkan kesemua pekerja SCB yang disahkan positif COVID-19 bekerja di kilang yang sama.
Namun, jelas firma penyelidik itu, SCB membuat keputusan untuk menutup kesemua kilangnya di Meru untuk melaksanakan aktiviti sanitasi dan nyah jangkitan.
“Kami difahamkan bahawa SCB telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mengekang jangkitan COVID-19 sejak suku pertama 2020 (1Q20) dan ini merupakan kali pertama syarikat itu mencatatkan kes positif.
“SCB mengesyaki jangkitan itu menular kepada pekerja menerusi kontak pihak ketiga,” tambah CGS-CIMB.
CGS-CIMB mengekalkan unjuran perolehan sesaham (EPS) SCB bagi FY21 hingga FY23 sementara menunggu kemas kini berhubung perkara tersebut.
Dalam pada itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘tambah’ terhadap saham SCB dan harga sasaran (TP) sebanyak RM11.80.
Setakat 11.19 pagi, nilai saham SCB menokok 1 sen daripada RM6.20 kepada RM6.21. - DagangNews.com