Penyelarasan kenaikan gaji kakitangan sehingga 15% dalam proses pelaksanaan - LTAT | DagangNews Skip to main content

Penyelarasan kenaikan gaji kakitangan sehingga 15% dalam proses pelaksanaan - LTAT

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Julai - Tuntutan kenaikan gaji sehingga 15% yang dituntut Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KKLTAT) dalam proses pelaksanaan dan akan diselaraskan.

 

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam satu kenyataan memaklumkan, kenaikan itu bukan secara pukul rata seperti mana amalan sebelum ini, tetapi secara individu mengikut pemetaan gaji yang wajar.

 

Menurutnya, beberapa sesi perbincangan dan penjelasan kepada KKLTAT termasuk melalui forum rasmi Mesyuarat Bersama Jabatan (MBJ) telah dianjurkan bagi membincangkan tuntutan tersebut supaya gaji kakitangan diselaraskan kepada 15% dan dibayar secara tunggakan ke tahun 2020.

 

“Oleh kerana itu, sebahagian kakitangan yang berada di bawah P50 (tanda aras gaji pasaran) bakal menikmati penyelarasan gaji sehingga 36% selain daripada bayaran sara hidup sebanyak RM5,200 setiap seorang,” katanya.

 

LTAT berkata demikian susulan piket yang dilakukan lebih 100 ahli KKLTAT di hadapan Bangunan LTAT di sini, semalam.

 

Menurut LTAT, pihak pengurusan kesal dengan keputusan KKLTAT untuk meneruskan piket walaupun pelan penyelarasan gaji dan bayaran sara hidup telah dimaklumkan lebih awal.

 

Katanya, kebajikan kakitangan sentiasa menjadi keutamaan walaupun berhadapan dengan persekitaran ekonomi mencabar sejak negara dilanda pandemik COVID-19 pada tahun 2020.

 

“Sejak tahun 2020 dan sehingga kini, LTAT terus membayar bonus tahunan maksimum tiga bulan. Sementara itu, kadar peratusan kenaikan gaji tahunan staf dari tahun 2020 hingga 2022 juga meningkat dari maksimum 5.5% hingga 7.0% mengikut prestasi masing-masing.
 

“LTAT juga memberi Bantuan Sara Hidup Khas COVID dari tahun 2020 hingga 2021 kepada staf yang terjejas dengan jumlah keseluruhan RM36,590. LTAT juga memberi inisiatif tambahan dalam bentuk moratorium agar staf yang meminjam daripada LTAT tidak perlu melakukan pembayaran balik pinjaman bagi tempoh enam bulan,” katanya.

 

Tambahnya, tiada kakitangan yang hilang pekerjaan serta tiada pengurangan gaji asas mahupun elaun bulanan sepanjang tempoh pandemik. - DagangNews.com