Penyelidik UiTM Cawangan Selangor perkenal sabun organik ekoenzim diperbuat daripada sisa produk tanaman | DagangNews Skip to main content

Penyelidik UiTM Cawangan Selangor perkenal sabun organik ekoenzim diperbuat daripada sisa produk tanaman

Program Expedicom-UCS Community Engagement bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti berhubung pemindahan teknologi penghasilan sabun organik ekoenzim menggunakan sisa produk tanaman di UiTM Living Lab@Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - UiTM Cawangan Selangor (UCS) menganjurkan program ‘Expedicom-UCS Community Engagement’ di UiTM Living Lab@Sabak Bernam, Selangor untuk memberi pendedahan kepada komuniti berhubung pemindahan teknologi penghasilan sabun organik ekoenzim menggunakan sisa produk tanaman.

 

UiTM berkata, penganjuran program itu turut memberi pendedahan teknologi penghasilan klon kultur tisu kepada petani di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam. 

 

Katanya, melalui program i-SULAM dan pemindahan teknologi bersasar, kerjasama jangka panjang berimpak di antara pelajar dan penyelidik UiTM, pelajar dan penyelidik antarabangsa, industri serta komuniti dapat diperkasakan di bawah inisiatif Projek UiTM Living Lab@Sabak Bernam. 

 

"Program inovasi sosial ini turut melibatkan kerjasama Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin, Fakulti Sains Gunaan dan Fakulti Farmasi dengan kerjasama Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati (UIN SGD), Indonesia.

 

"Selain itu, ia mendapat kerjasama industri setempat terdiri daripada Nazbell Cottage Worldwide, Big River Agrofarm Sdn Bhd, Sungai Panjang Agro Tourism Sdn Bhd (SPAT) dan Persatuan Integrasi Komuniti Usahawan Muda (PIKOM)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, kursus penghasilan sabun organik ekoenzim dianjurkan di Nazbell Cottage Worldwide, Sungai Panjang, Sabak Bernam daripada barisan penyelidik UiTM dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Fakulti Sains Gunaan dan Fakulti Farmasi, yang diketuai Dr Wan Zuraida Wan Mohd Zin dan juga penyelidik dari Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati (UIN SGD), Indonesia yang mempunyai kepakaran dalam bidang kimia sebatian semulajadi. 

 

Katanya, program i-SULAM melibatkan pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Agroteknologi (Bioteknologi Tumbuhan), Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM serta pelajar antarabangsa dari Indonesia dan Nigeria telah menjalankan program pemindahan teknologi dan pengetahuan tentang penghasilan klon tisu kultur kepada komuniti petani di Mukim Sungai Air Tawar, Sabak Bernam. 

 

 

uitm

 

 

uitm

 

 

Sementara itu, menurut Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi UiTM Cawangan Selangor, Prof Dr Asmah Awal, inisiatif inovasi sosial dari penyelidik dan pelajar UiTM dan antarabangsa dapat memberikan pengalaman dan pemindahan ilmu kepada kumpulan komuniti yang memerlukan di Sabak Bernam secara berterusan.

 

Pengerusi Inisiatif Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA), Datuk Rizam Ismail yang juga merupakan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna Negeri Selangor berkata, semua inisiatif itu akan memberikan impak positif kepada pemerkasaan sektor pertanian setempat dan juga kepada para peserta yang hadir. 

 

 

uitm

 

 

Beliau juga turut berharap program itu dapat memberikan pengalaman manis kepada pelajar UiTM dan juga pelajar antarabangsa bersama dengan komuniti di daerah Sabak Bernam.  

 

Daerah Sabak Bernam dinobatkan sebagai UiTM Living Lab pada 11 Ogos 2023 bagi membantu komuniti setempat ke arah pemerkasaan kualiti ekonomi dan kehidupan. 

 

 

uitm

 

 

Matlamat UiTM Living Lab adalah untuk menjadikannya sebagai komuniti angkat bertujuan untuk memperkasakan kualiti kehidupan, sosioekonomi, pendidikan, pertanian, agropelancongan dan kesejahteraan komuniti di Sabak Bernam melalui penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan penyelidik UiTM. - DagangNews.com