Penyelidik UiTM sertai program 'Sakura Science Exchange' di Jepun | DagangNews Skip to main content

Penyelidik UiTM sertai program 'Sakura Science Exchange' di Jepun

Para peserta bergambar bersama Prof Madya Dr Iwamoto Koji dan YBrs. Prof Dr Shoichiro Suda ketika majlis pembukaan Sakura Science Exchange Program.

KUALA LUMPUR 22 Dis - Sekumpulan penyelidik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyertai 'Sakura Science Exchange Programme' yang diadakan di Okinawa, Jepun, baru-baru ini.

 

Antara peserta yang mengikuti program ini adalah Dr Siti Hafsah Zulkarnain dan Dr Nurzaki Ikhsan dari UiTM cawangan Selangor, Sharir Aizat Kamaruddin, Khairul Naim Abd Aziz dan Aimie Rifhan Hashim dari UiTM cawangan Perlis.

 

Selain itu, Profesor Dr Abdol Samad Nawi dari UiTM cawangan Kelantan, Prof Madya Dr Rozita@Uji Mohammed, Profesor Madya Dr. Henry Joseph dan Alahasin Rubama dari UiTM cawangan Sabah.

 

Unit Komunikasi Korporat UiTM cawangan Perlis memaklumkan, program selama 11 hari itu dibiayai sepenuhnya oleh Japan Science and Technology Agency (JST). 

 

Katanya, program itu dihoskan University of the Ryukyus, Okinawa, Jepun, yang mana jemputan ke program tersebut berbentuk penyelidikan kolaboratif bertajuk 'International Joint Technical Exchange Program for The Promotion and Incubation of Sustainable Tropical Marine Aquaculture'.  

 

"Para peserta melawati pelbagai pusat penyelidikan dan industri sepanjang program ini berlangsung. Antara lokasi menarik yang dilawati adalah Nakagusuku Village Aquaculture Technology Research Center (NAICe), Euglena co, Seikai National Fisheries Research Institute dan Okinawa Prefectural Fisheries Research and Extension Center.

 

"Selain itu, peserta turut dibawa melawat ke Tropical Biosphere Research Center, Marine Aquaculture Center Sesoko Station, Okinawa Prefectural Sea Farming Center, Onna Village Fisheries Cooperative Association dan Okinawa Mozuku Board. 

 

 

uitm
Para peserta mengambil gambar di hadapan pintu masuk University of the Ryukyus, Okinawa, Jepun.

 

 

"Antara ilmu dipelajari adalah kaedah penternakan ikan kerapu, pertanian alga dan pengkulturan mikrob secara mampan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Tambah kenyataan itu, UiTM menyokong usaha para warganya untuk menimba ilmu di luar negara sejajar dengan aspirasi Global Renowned University 2025 (GRU2025) dan meningkatkan ketampakan UiTM di pesada antarabangsa. 

 

Katanya, program kolaboratif penyelidikan seperti ini mampu meningkat potensi pemerkasaan penyelidikan berimpak tinggi, pengukuhan kelestarian penyelidikan, dan pemacu penciptaan produk inovasi dan pengkomersialan yang boleh menguntungkan negara, komuniti dan universiti. 

 

 

uitm
Para peserta bergambar di Onna Village Fisheries Cooperative Association, Okinawa, Jepun.

 

 

"Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Prof Madya Dr Iwamoto Koji dari Malaysia-Japan International Institute of Technology, Professor Dr Shoichiro Suda (University of the Ryukyus) dan Hashimoto Kazuhito (Japan Science and Technology Agency) yang banyak membantu melancarkan perjalanan program. 

 

"Tidak dilupakan juga kepada para pelajar pascasiswazah University of the Ryukyus iaitu Jue Lalas dan Ayaka Paul yang membantu proses penterjemahan bahasa," katanya. - DagangNews.com