Penyelidik UPM temui gula Trehalulosa dalam madu kelulut | DagangNews Skip to main content

Penyelidik UPM temui gula Trehalulosa dalam madu kelulut

Dr. Norhasnida (kiri) dan pelajarnya Nurul Ainaa Farhanah Mat Ramlan melihat dari jarak dekat sarang lebah kelulut.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menemui sejenis gula yang dikenali sebagai Trehalulosa dalam madu kelulut yang mampu memberi manfaat kepada kesihatan.

Salah seorang penyelidik tersebut yang merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM, Dr. Norhasnida Zawawi berkata, gula trehalulosa boleh didapati hingga 44 gram (g) daripada lima spesies lebah kelulut yang berbeza.

"Kami menguji madu daripada dua spesies lebah kelulut asli Malaysia (Heterotrigina Itama dan Geniotrigona Thoracica), dua daripada Australia (Tetragonula Carbonaria dan Tetragonula Hockingsi) serta satu jenis spesies daripada Brazil (Tetragonisca Angustula).

Sarang lebah kelulut
Lebah kelulut di permukaan sarangnya

 

"Daripada kesemua spesies itu, kami mendapati 13 hingga 14g gula Trehalulosa didapati dalam semua madu itu, bukannya gula Maltosa seperti yang difikirkan sebelum ini," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Trehalulosa adalah sejenis gula dengan Indeks Glisemik (GI) yang rendah pada kadar 32 dan tidak dijumpai sebagai komponen utama dalam makanan lain.

Trehalulosa ditemui semasa menjalani penyelidikan mengenai profil gula madu kelulut oleh para penyelidik UPM bersama penyelidik Universiti of Queensland Australia, Prof. Madya Dr. Mary Fletcher serta ahli kumpulan penyelidikan lain dari makmal Queensland Alliance of Agriculture and Food Innovation, Australia.

Laluan keluar dan masuk lebah kelulut pada sarangnya
Laluan keluar dan masuk lebah kelulut pada sarangnya

 

Madu kelulut yang dikaji pada spesies Geniotrigona Thoracica dari Malaysia mempunyai kandungan Trehalulosa paling tinggi iaitu 84% daripada berat madu.

Tambah Norhasnida, dalam aspek kesihatan, gula tersebut adalah bersifat Akariogenik yang tidak merosakkan gigi.

"Selain itu, setelah Trehalulosa memasuki sistem penghaman, ia akan diserap dalam darah secara perlahan dan tidak akan menaikkan glukosa darah seperti gula biasa.

"Gula ini juga mempunyai kemanisan hingga 70% berbanding gula Sukrosa. Tetapi sekiranya diambil dengan jumlah yang sepatutnya, ia boleh digunakan untuk mencegah penyakit diabetes. Namun kesan tersebut belum terbukti dari segi sains," jelasnya lagi.

Norhasnida
Norhasnida

 

Penemuan tersebut dijangka akan mengukuhkan pasaran madu lebah kelulut dan meningkatkan permintaan di peringkat antarabangsa.

Norhasnida yang juga Ahli Jawatankuasa Pembentukan Piawai Madu Kelulut di Jabatan Standard Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberitahu, madu tersebut juga berpotensi untuk dipalsukan dan dicampur dengan bahan lain atau mencairkan produk berkenaan.

Dr. Norhasnida (dua kanan) bersama tiga pelajarnya selepas meninjau kawasan pemeliharaan dan pembiakan lebah kelulut di Ladang 10, UPM
Norhasnida (dua dari kanan) bersama tiga pelajarnya selepas meninjau kawasan pemeliharaan dan pembiakan lebah kelulut di Ladang 10, UPM

 

"Tetapi berdasarkan kajian ini, kita akan dapat menguji ketulenan madu kelulut yang dijual di pasaran di samping membantu industri dan pihak berwajib untuk menetapkan standard makanan yang sesuai bagi madu berkenaan.

"Kami juga berharap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan menubuhkan Institusi Penyelidikan Lebah Kelulut Malaysia bagi menggiatkan lagi kajian mengenai lebah dan madu kelulut sebagai makanan yang berpotensi menjadi komoditi negara," tambahnya. - DagangNews.com