Penyenaraian Petronas satu kelemahan kepada Malaysia, jejaskan 150,000 pekerja dalam industri O&G - CEO | DagangNews Skip to main content

Penyenaraian Petronas satu kelemahan kepada Malaysia, jejaskan 150,000 pekerja dalam industri O&G - CEO

KUALA LUMPUR 24 Feb - Penyenaraian Petroliam Nasional Bhd (Petronas) boleh menjadi kelemahan kepada Malaysia kerana syarikat minyak nasional itu boleh kehilangan statusnya di peringkat antarabangsa.

 

Ia juga boleh menjejaskan masa depan kira-kira 150,000 orang yang bekerja dalam industri minyak dan gas (O&G), kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz kepada New Straits Times.

 

Petronas telah mendapat manfaat daripada harga komoditi yang lebih tinggi, pengeluaran yang boleh dipercayai dan kadar pertukaran asing yang menggalakkan, katanya, sambil menambah bahawa penyenaraian tidak akan mendatangkan hasil kepada penambahbaikan itu.

 

Tengku Muhammad Taufik juga menolak tanggapan bahawa penyenaraian akan membolehkan Petronas meningkatkan keuntungan tahunannya sehingga RM100 bilion dan ia mempunyai keuntungan tersembunyi RM20 bilion hingga RM30 bilion.

 

"Saya tidak tahu dari mana datangnya tanggapan tersebut," katanya pada sesi bersama media semalam.

 

 

Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz
Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz

 

 

Minggu lalu, ahli parlimen Subang, Wong Chen mencadangkan penyenaraian Petronas agar kerajaan dapat menjana pendapatan untuk membantu mengurangkan hutangnya.

 

Dakwanya, jika Petronas diuruskan sebagai sebuah syarikat yang mempunyai standard tinggi dalam tadbir urus antarabangsa, purata keuntungannya akan melebihi RM60 bilion setahun dan boleh mencecah RM100 bilion setahun.

 

Cadangan itu mendapat pelbagai reaksi dengan beberapa penganalisis mempersoalkan sama ada penyenaraian akan membawa pengurangan hutang negara untuk jangka panjang dan mampan.

 

Tengku Muhammad Taufik berkata, sebarang implikasi penyenaraian perlu difikirkan secara menyeluruh memandangkan ia mungkin memberi kesan kepada industri yang menggaji 150,000 orang.

 

Akhirnya, beliau menegaskan, keputusan penyenaraian Petronas adalah hak prerogatif kerajaan sebagai pemegang sahamnya.

 

"Jika perdana menteri bertanya kepada saya, saya akan memaklumkan implikasi dari kedua-dua sudut padangan, sama ada pemangkin minyak dan gas serta industri perkhidmatan peralatan, keselamatan tenaga...itu adalah dimensi yang perlu difikirkan dengan teliti.

 

"Ia adalah di luar dividen atau fiskal kerana terdapat 150,000 orang bekerja dalam industri ini selain daripada pekerja kami," tambahnya. -DagangNews.com