Penyenaraian unit penjagaan kesihatan Sime Darby satu langkah positif, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Penyenaraian unit penjagaan kesihatan Sime Darby satu langkah positif, kata CGS-CIMB

Ramsay Sime Darby Health Care

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Hasrat syarikat konglomerat tertua negara, Sime Darby Bhd. untuk membuat penyenaraian berasingan unit penjagaan kesihatannya adalah satu langkah positif.

CGS-CIMB Research berkata, langkah tersebut membantu syarikat berkenaan untuk membuka nilai asetnya berdasarkan penilaian premium oleh pengendali aset penjagaan kesihatan.

"Kami melihat penyenaraian RSDHC (Ramsay Sime Darby Health Care) sebagai langkah positif bagi Sime Darby untuk membuka nilai asetnya memandangkan penilaian premium yang diperintahkan oleh pengendali aset hospital serantau.

"Ia turut disokong oleh struktur megatrend seperti peningkatan demografi dan permintaan untuk penjagaan kesihatan yang berkualiti," jelas CGS-CIMB Research.

Semalam, Blooberg melaporkan syarikat berkenaan berhasrat untuk melakukan  penyenaraian berasingan unit penjagaan kesihatannya yang boleh meraih sekurang-kurangnya RM500 juta. 

Hasrat berkenaan digerakkan dengan perbincangan bersama penasihat berpotensi bagi tawaran awam permulaan (IPO) untuk RSDHC.

Penyenaraian itu berkemungkinan akan berlaku pada awal tahun 2021.

Tambah CGS-CIMB Research, pihaknya kini membuat penilaian untuk 50% saham Sime Darby dalam RSDH pada harga RM1.3 bilion.

"Kami berpendapat pelaksanaan penyenaraian itu berpotensi untuk mengumpulkan hasil tunai.

"Ini akan membolehkan RSDHC meneroka lebih banyak peluang pelaburan greenfield (pelaburan langsung asing) serta brownfield (pelaburan penyewaan dan pembelian fasiliti) untuk mengembangkan portfolio asetnya tanpa menjejaskan kunci kira-kira kumpulan," ujar CGS-CIMB Research lagi.

CGS-CIMB Research turut membuat pengekalan saranan 'tambah' saham syarikat berkenaan dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM2.65. - DagangNews.com