KUALA LUMPUR 18 Mac – Penyertaan Malaysia dalam ke dalam Perjanjian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkuatkuasa hari ini membuktikan kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dalam usaha untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan oleh pandemik COVID-19, kata Ketua Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed.
Menurutnya, Perdana Menteri telah membuat gesaan berani untuk menyertai blok yang semakin meningkat yang memberi petanda baik untuk Malaysia dalam jangka masa panjang.
“Keputusan yang dibuat oleh perdana menteri adalah satu langkah yang bijak dan berani demi masa depan ekonomi negara yang mesti dipulihkan walau terdapat suara suara sumbang yang tidak ingin Malaysia menyertai blok perdagangan itu.
“Dengan menyertai blok perdagangan yang lebih besar seperti RCEP, semestinya yang akan memberi manfaat kepada Malaysia dari segi perdagangan. Menyertai RCEP merupakan langkah strategik bagi meningkatkan aktiviti perdagangan bagi mengekalkan momentum ekonomi,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Beliau merujuk tentang penyertaan Malaysia ke dalam blok perdagangan mega yang berkuatkuasa hari ini.
Sementara itu dalam kenyataannya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata: Malaysia dijangka menjadi penerima terbesar RCEP yang disokong China dalam kalangan negara Asia Tenggara dari segi keuntungan eksport, dengan unjuran peningkatan AS$200 juta.
Dengan berkuatkuasa RCEP hari ini, Malaysia menyertai 11 negara penandatangan lain yang sudah melengkapkan proses ratifikasi iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan.
Shan berkata, RCEP adalah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar di dunia dengan 2.2 bilion atau hampir satu pertiga (29.5 peratus) penduduk dunia, menyumbang AS$12.7 trilion, lebih satu perempat daripada perdagangan global dalam barangan dan perkhidmatan dan 31 peratus daripada aliran masuk pelaburan langsung asing global.
“Penguatkuasaan perjanjian itu manifesto keazaman rantau itu untuk membukakan pasaran, mengukuhkan integrasi ekonomi dan menyokong sistem dagangan pelbagai hala yang bebas, adil dan berasaskan peraturan, justeru menyumbang kepada usaha pemulihan pasca-pandemik global.
“Ia juga menyediakan komitmen akses pasaran baharu dan diselaraskan, peraturan moden dan disiplin yang memudahkan perdagangan dan pelaburan,’’ jelas beliau.
Katanya, akses yang lebih luas kepada pasaran adalah kunci kepada usahawan.
Dengan ekonomi global yang rapuh dan ekonomi maju di bawah tekanan Stagflasi, Shan berpendapat RCEP memberi peluang kepada pelabur pintar untuk memanfaatkan dan menggerakkan pelaburan strategik mereka di ASEAN dan ASIA.
Katanya, Asia dijangka menjadi rantau yang kekal dengan pertumbuhan ekonomi untuk 15-20 tahun akan datang. – Dagangnews.Com