Pepsi perkenal label botol minuman papar elemen tradisional Sabah, Sarawak edisi terhad | DagangNews Skip to main content

Pepsi perkenal label botol minuman papar elemen tradisional Sabah, Sarawak edisi terhad

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei - Jenama minuman terkemuka dunia, Pepsi bekerjasama dengan dua artis dari Malaysia Timur, Artsy Daphne dan Charles Mawan, untuk mencipta rekabentuk label botol edisi terhad yang menyerlahkan keunikan budaya dan warisan Sabah dan Sarawak.

 

Kerjasama itu sempena meraikan perayaan Pesta Kaamatan dan Gawai yang merupakan dua perayaan terbesar yang disambut oleh pelbagai kaum etnik di Malaysia Timur. 

 

Label pada botol 1.5L itu memaparkan elemen seperti hiasan kepala tradisional Sabah dan Sarawak, alat muzik tradisional, dan corak suku kaum dari kedua-dua negeri yang lengkap dengan kepelbagaian warna menarik yang jelas menandakan keistimewaan sambutan Pesta Menuai. 

 

Pepsi merupakan jenama cola pertama yang mengambil bahagian dalam perayaan ini dan reka bentuk label khas ini akan tersedia pada pilihan Pepsi Regular dan Pepsi Black secara eksklusif di semua pasar raya utama di Sabah dan Sarawak untuk masa terhad waktu tempoh perayaan.

 

Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Amy Gan berkata, Pepsi adalah jenama yang bukan sahaja mementingkan kecemerlangan dalam inovasi malah ia juga mengutamakan kepelbagaian. 

 

"Kami berbangga untuk sama-sama meraikan festival menuai tahun ini yang memberi penghormatan dan memperjuangkan kisah dan sejarah budaya dan warisan Malaysia Timur sambil meningkatkan semangat artis tempatan untuk mempertunjukkan bakat mereka.

 

"Pada pandangan pertama, kami sudah terpikat dan terinspirasi dengan hasil karya mural berunsurkan budaya oleh Daphne Siaw, dan Charles Mawan. 

 

 

pepsi

 

 

"Kami di Pepsi sangat teruja untuk bergabung tenaga dengan Daphne dan Charles untuk memaparkan keunikan budaya Malaysia Timur melalui kanta kreatif mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selain daripada ciptaan reka bentuk label edisi terhad, Pepsi juga akan menjadi penaja utama acara kebudayaan yang penuh keseronokan di Malaysia Timur. 

 

Sebagai penaja minuman rasmi Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) 2023, Pepsi akan menyokong Pesta Kaamatan dan mereka juga akan menaja salah satu pertandingan ratu cantik terbesar di Sabah iaitu pertandingan Unduk Ngadau demi menggalakkan penyertaan generasi muda untuk mengekalkan tradisi yang berpanjangan ini. - DagangNews.com