Perak beralih pada lesen perniagaan digital tingkatkan kecekapan PBT | DagangNews Skip to main content

Perak beralih pada lesen perniagaan digital tingkatkan kecekapan PBT

Program ujian keberkesanan pelaksanaan myPATIL dilakukan oleh penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh pada Ogos tahun lalu.
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 7 Mac - Perak bakal mendahului yang lain apabila menjadi negeri pertama melaksanakan inisiatif pendigitalan lesen perniagaan (myPATIL) mulai tahun ini.

 

Ia melibatkan kesemua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri tersebut.

 

myPATIL ialah lesen premis perniagaan berasaskan internet of things (IoT) yang telah dipelopori oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sejak 2021.

 

Ia bagi memudahkan para peniaga memperbaharui lesen premis perniagaan, notifikasi notis serta pembayaran kompaun dalam aplikasi mudah alih tanpa perlu hadir ke kaunter PBT.  

 

Sistem tersebut dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat teknologi maklumat tempatan, Gates IT Solution Sdn. Bhd. (Gates IT Solution) yang ditubuhkan pada 2009. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Gates IT Solution, Husni Ruslai berkata, sistem tersebut membabitkan pelaburan berjumlah RM5.2 juta dan yang pertama dibangunkan di Malaysia.

 

Menurut beliau, sistem myPATIL dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan PBT termasuk penguatkuasaan lesen perniagaan.

 

 

mpm
Peranti myPATIL dipasang bagi menggantikan lesen perniagaan kertas.

 

 

"MPM menjadi PBT pertama di Malaysia menggunakan aplikasi ini pada 2021 yang mana ia telah memudahkan urusan pemantauan dan penguatkuasaan secara bersasar dengan maklumat 'real-time' semasa operasi di lapangan. 

 

"Kami percaya dengan hasil pelaksanaan ini, dan sekiranya myPATIL dilaksanakan seluruh PBT di Malaysia akan menyumbang peningkatan hasil lesen PBT dengan anggaran 30 hingga 40%.

 

"Ini bersamaan nilai sebanyak RM190 juta untuk tahun pertama pelaksanaan dan RM2.3 bilion untuk tempoh 10 tahun dengan mengambil kira peningkatan lesen-lesen baharu.

 

 

mypatil
Aplikasi myPATIL berasaskan IoT memudahkan pemantauan premis perniagaan dilakukan menerusi telefon pintar.

 

 

"Ketika ini lebih 7,000 premis perniagaan di Manjung telah dipasang dengan peranti myPATIL dan jumlah ini terus meningkat.

 

"Menerusi pemasangan tersebut pihak MPM telah menemui ketirisan kira-kira RM1.8 juta 'pendapatan bocor' akibat bayaran lesen perniagaan dalam tempoh 6 bulan, selain penjimatan elaun lebih masa kepada petugas sehingga 25% dan peningkatan hasil sehingga 130%," ujar beliau kepada DagangNews.

 

Peranti myPATIL menggantikan lesen perniagaan bercetak bagi membendung pemalsuan lesen, duplikasi lesen, kehilangan lesen dan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

 

Aplikasi ini juga membolehkan penguat kuasa menyemak maklumat lesen perniagaan secara digital bagi mengetahui data pelesen, aktiviti perniagaan yang diluluskan dan tempoh sah lesen.

 

 

mypatil
                                        Husni Ruslai

 

 

Menurut Husni, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menjadi PBT kedua di Perak menggunakan sistem myPATIL dan dalam proses pemasangan bermula 27 Mac sehingga 23 Jun 2023.

 

Katanya, sesi libat urus telah dilakukan manakala aktiviti pemasangan peranti dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan serta Jabatan Kesihatan Persekitaran dari MPKK.

 

 

mypatil
Peranti myPATIL menggantikan lesen perniagaan bercetak bagi membendung pemalsuan lesen, duplikasi lesen, kehilangan lesen dan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

 

 

Sebelum ini Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan bahawa Perak akan beralih pada pendigitalan lesen premis perniagaan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan PBT.

 

Untuk itu katanya, kerajaan negeri telah bersetuju melaburkan lebih RM2 juta sebagai sokongan kepada PBT negeri bagi melaksanakan inisiatif myPATIL pada tahun ini. - DagangNews.com