Perak catat pelaburan RM4.2 bilion pada suku kedua tahun ini, bukti pelan Perak Sejahtera 2030 beri hasil positif | DagangNews Skip to main content

Perak catat pelaburan RM4.2 bilion pada suku kedua tahun ini, bukti pelan Perak Sejahtera 2030 beri hasil positif

Sektor automotif antara bidang yang menyumbang besar kepada ekonomi Perak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 13 Dis - Ekonomi Perak terus dipacu apabila RM4.2 bilion nilai pelaburan telah diluluskan pada suku kedua tahun ini meningkat 75 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM2.4 bilion 

 

Ia merangkumi tiga sektor iaitu perkhidmatan yang menyumbang RM3.7 bilion, pembuatan (RM485.5 juta) dan sektor utama (RM12.05 juta).

 

Menteri Besar, Dato' Seri Saarani Mohamad berkata, sebanyak 192 projek yang diluluskan untuk ketiga-tiga sektor ini bakal mewujudkan 1,246 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

 

Menurut beliau, ini merupakan pencapaian yang amat baik serta bukti komitmen kerajaan negeri dalam merangsang pertumbuhan ekonomi.

 

MB
Saarani (tengah) bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri yang hadir pada Sesi Apresiasi dan Jalinan Bersama Pemegang Taruh dan Media Perak Sejahtera 2030.

 

“Ini juga menjadi pendorong untuk terus mempergiatkan usaha meningkatkan keyakinan para pelabur memilih Perak sebagai destinasi pelaburan. 

 

“Dengan prestasi ekonomi yang semakin kukuh serta kedudukan kewangan yang stabil, kita berjaya mempersembahkan kepada rakyat Belanjawan 2024 tertinggi dalam sejarah,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sesi Apresiasi dan Jalinan Bersama Pemegang Taruh dan Media Perak Sejahtera 2030 di sini.

 

Sesi tersebut dianjurkan oleh Institut Darul Ridzuan dan Unit Perancang Ekonomi.

 

MB

 

Ia bagi menghargai peranan dimainkan semua pihak termasuk pentadbiran negeri dalam menjayakan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030.

 

Antara agenda utama yang terkandung dalam Perak Sejahtera 2030 melibatkan sekuriti makanan, ekonomi digital, perlombongan bertanggungjawab, koridor TVET Malaysia, pembuatan keputusan berpacukan data serta tadbir urus projek berkepentingan negeri.

 

Jelas Saarani, semua pencapaian ini tidak berlaku secara kebetulan tidak akan menjadi realiti tanpa perancangan dan pelaksanaan yang konsisten daripada semua. 

 

“Sebagai Menteri Besar, saya sangat menghargai komitmen jitu yang ditunjukkan oleh semua pihak terlibat dalam menjayakan segala perancangan yang telah kita gariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030,” ujarnya.- DagangNews.com