Perak Corp nafi gulung tikar | DagangNews Skip to main content

Perak Corp nafi gulung tikar

Perak Corporation Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Perak Corporation Berhad (PCB) menolak dakwaan bahawa syarikatnya sedang mengalami proses pengakhiran operasi.

PCB dalam satu kenyataannya kepada Bursa Malaysia pada Jumaat (18 Sept.) berkata, penafian tersebut adalah berkaitan dengan isu yang telah tersebar bahawa PCB berada dalam fasa pengakhiran operasi.

"Syarikat ingin menjelaskan bahawa Animation Theme Park Sdn. Bhd. sudah diletakkan di bawah penerimaan (receivership) pada 4 Disember 2019 dan telah berhenti operasi pada 28 Januari 2020.

"Tiada anak syarikat, syarikat bersekutu dan PCB yang diletakkan di bawah proses likuidasi, pengakhiran operasi atau pengurusan kehakiman," jelas PCB.

Kenyataan yang dikeluarkan PCB itu adalah untuk menjelaskan isu sebenar yang telah tular dalam laporan media tempatan.

Isu penggulungan tersebut dibongkarkan oleh Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman.

Hamidah memberitahu, PCB berdepan fasa pengakhiran operasi susulan jumlah tanggungan melebihi RM751,361 juta yang turut melebihi jumlah aset terkumpul RM742,273 juta.

Tambah Hamidah, PCB hanya mempunyai masa hingga 23 Oktober untuk menyelesaikan hutang atau berisiko untuk penerimaan (receivership).

Baca: Perak Corporation Bhd. bakal muflis? 

Menyentuh isu pinjaman hutang daripada bank untuk pelaburan MAPS dan dana pembayaran kontraktor, PCB memberitahu, pelaburan modal saham dalam MAPS oleh PCB Development Sdn. Bhd. (PCBD) adalah berjumlah RM58.35 juta.

Jumlah pendahuluan pemegang saham daripada Kumpulan PCB adalah berjumlah RM275.2 juta yang dibiayai melalui dana yang dihasilkan secara dalaman dan pinjaman bank.

Jelas PCB lagi, pihaknya pada 3 Julai lalu telah melantik M&A Securities Sdn. Bhd. sebagai penasihat bagi tujuan penstrukturan semula.

PCB juga menolak dakwaan berkaitan perbincangan untuk menjual Pelabuhan Lumut kepada pelabur asing. - DagangNes.com