Perak hilang RM2 juta sumber lantanida akibat kegiatan perlombongan haram | DagangNews Skip to main content

Perak hilang RM2 juta sumber lantanida akibat kegiatan perlombongan haram

Perlombongan NR-REE di Hulu Perak memberi pendapatan baharu kepada negeri Perak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 29 Feb - Kegiatan perlombongan haram lantanida yang dikesan di Hulu Perak sepanjang empat tahun lalu menyebabkan Perak kehilangan sebanyak RM2 juta nilai sumber bumi.

 

Ia melibatkan tiga kawasan iaitu Hutan Simpan Bintang Hijau, Hutan Simpan Kenderong dan Hutan Simpan Piah.

 

Sebanyak enam laporan polis telah dibuat melibatkan aktiviti tersebut yang berlaku pada tahun 2019 hingga 2023.

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kegiatan itu dibongkar Jabatan Perhutanan Perak, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta polis.

 

Menurut beliau, kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap kes kecurian perlombongan lantanida menerusi aktiviti yang dikesan.

 

Hasil
Pegawai Jabatan Mineral dan Geosains negeri Perak melakukan ujian sumber NREE yang ditemui di Ulu Slim.

 

“Nilai kerugian hampir RM2 juta kepada hasil kerajaan ini dilihat boleh mengganggu gugat kelestarian alam sekitar sekiranya tidak dibendung.

 

"Oleh itu, inisiatif kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Membanteras Perlombongan Haram Peringkat Negeri dan Persekutuan.

 

“Ia bagi memperkasa aktiviti kawalan dan pemantauan terhadap aktiviti perlombongan haram," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini.

 

Sepanjang tempoh itu juga seramai 31 orang telah ditahan termasuk 21 pendatang asing tanpa izin yang terlibat dalam kegiatan itu.

 

Jelas Saarani lagi, kerajaan negeri turut meningkatkan rondaan dan pemantauan berkala di kawasan-kawasan titik panas aktiviti perlombongan sebagai langkah pencegahan, 

 

Katanya, ini termasuklah pemantauan di lapangan, pemantauan udara, penderiaan jauh dan dron yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa.

 

“Agensi-agensi seperti PTG, Jabatan Perhutanan Perak, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta polis akan sentiasa bekerjasama.

 

“Ini membabitkan erkongsian maklumat dan dapatan mengenai aktiviti perlombongan haram dalam kawasan hutan simpan untuk penyelarasan tindakan penguatkuasaan,” ujarnya.

 

Pada Disember lepas misalnya, polis mengesan aktiviti perlombongan haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak.

 

Op Khazanah pihak polis bersama Jabatan Perhutanan di kawasan berkenaan telah menjumpai kawasan yang dipercayai berlaku aktiviti perlombongan NR-REE secara haram. - DagangNews.com