IPOH 31 Julai - Peruntukan sebanyak RM16 juta diperlukan untuk menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini berikutan kemudahan sedia ada tidak mencukupi.
Ketika ini jabatan itu mempunyai 30 katil dan perlu ditambah sebagai persediaan sekiranya ada peningkatan ke
Perhatian sewajarnya perlu diberikan oleh Kementerian Kesihatan kerana isu tersebut telah pun diketengahkan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri Perak, A.Sivanesan berkata, memorandum berhubung perkara itu telah dihantar kepada Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.
Menurut beliau, bagaimana pun belum ada maklum balas diberikan.
"Menteri Kesihatan diminta turun padang untuk melihat keadaan jabatan tersebut.
"Ini kerana pihak saya sudah menghantar memorandum sebanyak dua kali kepada Menteri Kesihatan, namun masih tiada maklum balas.
“Surat pertama, temujanji dibatalkan. Surat kedua pula, tiada maklum balas langsung dari pihak kementerian," ujarnya kepada pemberita.
Jelas Sivanesan, walaupun Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni akan melawat Ipoh pada 15 Ogos ini, namun Menteri Kesihatan perlu melakukan perkara sama.
Menurutnya, keadaan di unit kecemasan HRPB amat membimbangkan kerana katil dan fasiliti lain tidak mencukupi.
“Setakat ini, hanya 30 katil sahaja di unit kecemasan HRPB. Jika berlaku kemalangan besar dan sebagainya, keadaan ini amat membimbangkan.
“Jadi, hospital memerlukan 30 katil lagi untuk unit tersebut. Jangan sampai ada kejadian besar baru nak lakukan perubahan,” katanya.
Menurutnya lagi, jika jumlah katil ditambah sudah pasti fasiliti yang lain perlu ditambah juga.
“Sebelum ini, peruntukan yang dijanjikan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebanyak RM6 juta telah diluluskan.
Bagaimana pun, penilaian semula yang dibuat kemudian mendapati jumlah keseluruhan yang diperlukan lebih besar.
Pada Februari lalu, Perak memohon peruntukan tambahan bagi menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini bagi memberi keselesaan kepada pesakit.
Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan berhubung peruntukan tambahan yang diperlukan. - DagangNews.com