Perak SADC labur RM5 juta untuk majukan sektor agropelancongan | DagangNews Skip to main content

Perak SADC labur RM5 juta untuk majukan sektor agropelancongan

Yahanis (dua dari kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Perladangan dan Komoditi negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Haron (empat dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani projek agropelancongan Perak SADC dan Papan Agro Valley di Ipoh baru-baru ini.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 16 Jun - Sebanyak RM5 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) tahun ini untuk memajukan sektor agropelacongan.

 

Usaha tersebut bagi mempelbagaikan sumber pendapatan selain bergantung kepada komoditi kelapa sawit dan pertanian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya berkata, agensi itu ketika ini aktif memperluaskan bidang agropelancongan dan ekopelancongan dengan tarikan tersendiri.

 

Antaranya, Perak Agrotourism Resort (Patro) Sungai Galah, Taman Herba, Masoorat Heritage Park, Denai Kabus dan Ulu Piah.

 

"Semua lokasi ini menampilkan pelbagai aktiviti yang mampu menarik kehadiran pengunjung.

 

Gua Masoorat merupakan salah satu geotapak dalam Geopark Lembah Kinta.
Gua Masoorat merupakan salah satu geotapak dalam Geopark Lembah Kinta.

 

"Antara tarikan seperti eksplorasi gua, camp site, berbasikal, ATV, memancing dan lawatan ke tapak taman herba," ujarnya ketika dihubungi Dagang News.

 

Sebagai contoh, Gua Masoorat yang terletak berhampiran Gunung Lang dekat sini merupakan salah satu geotapak dalam Geopark Lembah Kinta.

 

Gua tersebut menyimpan lukisan prasejarah berusia lebih 5,000 tahun yang dipercayai lukisan manusia Zaman Neolitik.

 

Mengulas lanjut kata Yahanis, Perak SADC juga dalam perancangan untuk melancarkan program agro dan ekopelancongan dengan kerjasama Tourism Perak serta beberapa agensi lain di Hulu Perak.

 

Katanya, usaha ini bagi menyediakan lagi tarikan menjelang Tahun Melawat Perak 2024.

 

Patro Resort di Sungai Galah merupakan salah satu lokasi agropelancongan popular di Perak.
Patro Resort di Sungai Galah popular satu lokasi agropelancongan di Perak.

 

"Baru-baru ini kita telah memeterai kerjasama dengan pihak Papan Agro Valley Sdn. Bhd. bagi membangunkan satu projek agropelancongan dan tanaman integrasi di kawasan Papan, Pusing.

 

"Siap kelak ia mampu menjadi daya tarikan baharu khususnya kepada pengunjung domestik dan luar negara," ujarnya.

 

Bagaimana pun, perincian lanjut mengenainya akan diumumkan sedikit masa lagi. - DagangNews.com