Perak SADC sasar tingkatkan nilai aset bersih sebanyak RM4 bilion pada tahun 2025 | DagangNews Skip to main content

Perak SADC sasar tingkatkan nilai aset bersih sebanyak RM4 bilion pada tahun 2025

Yahanis (kanan) dan Saarani (kiri) semasa sesi lawatan Perak SADC meninjau industri agro makanan di Bogor, Indonesia.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 19 Jan - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) menyasarkan untuk meningkatkan nilai aset bersih yang dimiliki sebanyak RM4 bilion pada tahun hadapan berdasarkan prestasi semasa.

 

Ketika ini nilai aset bersih yang dimiliki berjumlah RM3 bilion iaitu meningkat berbanding RM2.52 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Dato' Yahanis Yahya berkata, prestasi tersebut boleh dicapai menerusi usaha-usaha yang sedang dan akan dilaksanakan.

 

“Antaranya ialah dengan peningkatan rizab tunai, keuntungan daripada penjualan Ladang PT Pinang dan pengurangan liabiliti.

 

“Seterusnya penilaian semula tanah-tanah Perak SADC, peningkatan pembelian harta modal dan pelaburan baru,” ujarnya.

 

Sadc
Saarani (tengah) melihat model tapak Perak HIP semasa majlis pelancarannya pada Ogos lalu.

 

Beliau berkata demikian dalam satu majlis Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Perak SADC.

 

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad.

 

Pada awal penubuhannya, Perak SADC menggunakan geran permulaan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1 juta.

 

Selain memberi fokus pada sektor perladangan, Perak SADC sedang meneroka bidang perniagaan halal menerusi Taman Industri Halal Perak (Perak HIP) di Lekir dekat Manjung.

 

Sadc
Yahanis mewakili Perak SADC selepas memeterai memorandum persefahaman bersama Halal Development Corporation Berhad pada September lalu.

 

Pembangunan strategik di kawasan berkeluasan 43 hektar dalam jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) itu dilengkapi dengan pusat pemprosesan daging dan makanan haiwan.

 

Perak HIP juga giat dipromosikan termasuk ke beberapa negara Timur Tengah untuk melabur di sana.

 

Kerajaan Perak sebelum ini telah melantik Perak SADC untuk menerajui program sekuriti makanan negeri bagi memastikan sumber dan ekonomi berasaskan makanan untuk rakyat mencukupi. - DagangNews.com