IPOH 19 Sept - Penyertaan pelbagai syarikat tempatan menerusi Pavilion Perak pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 mengembangkan potensi pasaran eksport terutama produk usahawan makanan.
Pada edisi MIHAS kali ini Perak menyasarkan jualan sebanyak 30,000 produk dengan nilai kira-kira RM1.5 juta.
Pavilion Perak diselaraskan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).
Pengarah STeP, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli berkata, pihaknya menjangkakan nilai jualan produk-produk yang dibawa bertambah berbanding edisi sebelumnya.
Menurut beliau, MIHAS merupakan platform terbaik bagi usahawan Perak yang terpilih untuk memasarkan produk mereka.
“Beribu pempamer dan pemain industri halal dari serata dunia hadir pada MIHAS, sememangnya ini peluang terbaik untuk semua usahawan Perak meneroka masa depan industri halal bersama-sama.
“Kita percaya produk-produk usahawan Perak yang dibawa ke MIHAS adalah yang terbaik dan terpilih,” ujarnya kepada Dagang News.
Pavilion Perak menampilkan syarikat tempatan iaitu Gerik Food Industry dengan nasi pekasam segera, Mesra Herbs Sdn. Bhd. (pelbagai jenis kopi dan produk kesihatan) dan Cwp Food Manufacturing Sdn. Bhd. (makanan ringan berasaskan rumpai laut).
Turut serta ialah Suffy Dairy Group Sdn. Bhd. (produk tenusu), Perak Halal Industrial Park dan Eurofresh Sdn. Bhd. (daging sejuk beku).
Sebanyak 65 produk pula dibawa dan dipamerkan untuk jualan mewakili 25 usahawan.
Secara keseluruhan MIHAS kali ini disertai lebih 2,000 pempamer dari 66 buah negara.
Sementara itu, Perak SADC dalam kenyataan memberitahu, beberapa sesi perbincangan telah diadakan antara usahawan tempatan Perak dengan rakan industri luar negara.
Ini termasuk produk Rempeyek Mama Keen yang mendapat perhatian daripada delegasi dari Beijing, V Promising International Trade Development Co Ltd (China).
“Syarikat berkenaan menunjukkan minat untuk memasarkan produk tersebut bagi pasaran China semasa sesi padanan perniagaan dijalankan.
“Selain China, negara Algeria juga turut berminat untuk memasarkan produk tersebut ke negara-negara Afrika Utara,” ujar kenyataan tersebut.
MIHAS berlangsung sehingga esok di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur. - DagangNews.com