IPOH 21 Okt - Kerajaan negeri Perak giat membangunkan industri mineral sebagai sumber pendapatan baharu dengan meneroka teknologi China untuk dimanfaatkan.
Menerusi lawatan kerja ke China yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, delegasi beliau telah melawat kilang pengasingan unsur nadir bumi, China Rare Earth Group Co. Ltd (CREG) di kota Nanning.
Delegasi Menteri Besar sedang dalam rangka lawatan ke China sejak 15 Oktober lalu.
Selain meneroka potensi pelaburan ke Perak, lawatan ini juga bertujuan meninjau teknologi terkini pengasingan unsur nadir bumi yang boleh dimanfaatkan dalam industri tersebut.
Ia juga bagi memenuhi jemputan CREG yang diutuskan kepada kerajaan negeri Perak, September lalu.
Pejabat Menteri Besar Perak dalam kenyataan memaklumkan, lawatan dan kerjasama bilateral antara kedua-dua negara ini amat penting dengan Perak yang berpotensi menjadi hab pembangunan industri mineral di Malaysia.
Jelas kenyataan tersebut, menerusi lawatan itu, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) selaku penggerak utama industri mineral di Perak juga dapat mengukuhkan hubungan strategik penggunaan teknologi.
"Ini khususnya dalam pengekstrakan unsur nadir bumi secara selamat dan bertanggungjawab.
"Perak mahu ada usaha yang berterusan untuk menambahbaik strategi pembangunan industri inimineral setelah terbukti berjaya melalui penggunaan teknik In-situ Leaching (ISL) iaitu kaedah yang paling selamat, mesra alam dan mampan bagi perlombongan Lantanida," ujar kenyataan itu.
Dalam lawatan berkenaan, delegasi Menteri Besar diberikan penerangan berkaitan pemuliharaan tapak selepas pengekstrakan unsur nadir bumi oleh Pengarah Urusan CREG (Guangxi), Zhang Xinguang.
Sehingga Julai lalu, kerajaan negeri Perak telah berjaya menerima RM16 juta dalam bentuk royalti melalui projek perintis perlombongan Lantanida di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak.
Pembangunan industri ini juga menyaksikan Perak bakal menubuhkan makmal nadir bumi bukan radio aktif (NR-REE) berpotensi untuk menjadi hab komprehensif dan pemangkin industri mineral tersebut di negara ini.
Ini juga merupakan makmal NR-REE yang pertama di Malaysia.selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 berhubung perlombongan bertanggungjawab.- DagangNews.com