Perak, Thai Travel Agents Association bincang adakan penerbangan Ipoh-Bangkok | DagangNews Skip to main content

Perak, Thai Travel Agents Association bincang adakan penerbangan Ipoh-Bangkok

Kerajaan Perak dengan Thai Travel Agents Association telah berbincang mengenai laluan penerbangan dari Ipoh ke Bangkok - (Gambar hiasan).
Oleh Zaki Salleh

IPOH 14 Ogos - Perbincangan diadakan antara kerajaan Perak dengan Thai Travel Agents Association (TTAA) berhubung laluan penerbangan dari Ipoh ke Bangkok, Thailand yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

 

Ini kerana terdapat syarikat penerbangan di Thailand sedang giat mengadakan promosi pelbagai pakej pelancongan ke Perak bagi menarik pelancong dari negara itu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, pihaknya juga meminta penggiat industri pelancongan tempatan mempelajari beberapa dialek bahasa Thailand serta adat resam dan budaya masyarakat tersebut.

 

Katanya, ini sebagai persediaan menerima kemasukan pelancong dari Thailand seterusnya memudahkan mereka berkomunikasi dengan dengan lebih baik.

 

Sze Yee dan pengerusi penganjur, Wendy Shin semasa merasmikan MATTA Fair Perak 2023.
Sze Yee (kanan) dan pengerusi penganjur, Wendy Shin semasa merasmikan MATTA Fair Perak 2023 di Ipoh.

 

"Selain daripada pelancong tradisi seperti dari negara China, kita mahu menarik seramai yang boleh pelancong dari Thailand tambahan pula Perak bersempadan dengan Thailand," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak kali ke-31 di Pusat Konvensyen Ipoh.

 

Terdahulu, Loh dalam ucapannya berkata, pihaknya memfokuskan untuk membangunkan lebih banyak tarikan pelancongan dengan memberi lebih perhatian kepada inisiatif dan lebih agresif mempromosikan produk pelancongan di negeri ini.

 

"Kita akan memberi lebih perhatian dengan menonjolkan lagi keunikan iaitu dari segi alam semula jadi, makanan, warisan dan budaya masyarakat setempat.

 

Sesi
Sesi 'Busines Matching Promosing Perak' yang dianjurkan Tourism Perak dengan TTAA yang diadakan pada Julai lalu di sebuah hotel di Ipoh.
 
Matta
MATTA Fair Perak 2023 mensasarkan jualan pelbagai produk pelancongan sebanyak RM23 juta dengan kehadiran 20,000 pengunjung.

 

Saya berharap agar pengusaha pelancongan akan terus berusaha dengan lebih gigih memperkukuh penjenamaan dan promosi pemasaran yang unik dan sinonim dengan Perak supaya meninggalkan impak lebih baik dan merangsang pelancong untuk terus melancong ke negeri Perak secara berulang," katanya.

 

MATTA Fair Perak 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Ipoh itu mensasarkan jualan pakej pelancongan bernilai RM23 juta.

 

Edisi penganjuran kali ke-31 itu menjangkakan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung untuk mendapatkan pelbagai produk pelancongan dari dalam dan luar Perak.

 

Sebanyak 100 ruang pameran disediakan bagi mempromosikan produk-produk pelancongan berkaitan. - DagangNews.com​​​