Perak Transit meterai perjanjian solar PV 20 tahun dengan TNB | DagangNews Skip to main content

Perak Transit meterai perjanjian solar PV 20 tahun dengan TNB

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 26 Sept - Pengendali terminal pengangkutan awam Perak Transit Bhd memeterai perjanjian 20 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan GSPARX Sdn Bhd untuk mendapatkan tenaga solar.

 

Di bawah perjanjian itu, GSPARX akan memasang sistem penjanaan tenaga solar photovoltaik (PV) dengan jumlah kapasiti terpasang 422kWp di Terminal Perak Transit Meru Raya di Ipoh, Kampar Putra Sentral di Kampar, dan di tiga stesen minyak.

 

Perak Transit, yang turut menyediakan perkhidmatan bas awam, berkata anak syarikatnya iaitu CKS Bumi Sdn Bhd, CKS Labur Sdn Bhd, Star Kensington Sdn Bhd dan The Combined Bus Services Sdn Bhd akan membuat pembayaran berdasarkan bil bulanan yang dikeluarkan oleh TNB.

 

Perjanjian itu, kata syarikat itu dalam pemaklumannya di Bursa Malaysia, adalah sebahagian daripada pelan tindakan transformasi persekitaran, sosial dan tadbir urus kumpulan itu untuk menjadi peneraju kemampanan di Malaysia.

 

“Langkah memasang sistem solar PV dengan perbelanjaan modal sifar kepada kumpulan, kumpulan itu menjangkakan ia akan membawa penjimatan yang dianggarkan RM3.5 juta dalam tempoh 25 tahun dan mengurangkan pergantungan kepada sumber kuasa konvensional.

 

“Sistem solar PV juga akan menyumbang dalam membantu kumpulan itu mempromosikan tenaga bersih dan meminimumkan jejak karbon negara, dengan anggaran CO2 mengimbangi 241.5 tan metrik,” katanya.

 

Saham Perak Transit ditutup dua sen atau 2.2% lebih rendah kepada 87 sen pada hari ini, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM617.27 juta. Saham Perak Transit telah meningkat sebanyak 49% tahun setakat ini. - DagangNews.com