Perak Transit terbit sukuk RM100 juta biayai terminal baharu di Bidor | DagangNews Skip to main content

Perak Transit terbit sukuk RM100 juta biayai terminal baharu di Bidor

 

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Perak Transit Bhd. menerbitkan bahagian kedua Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) bernilai RM100 juta dengan UOB Malaysia dan AmBank Group merupakan pelanggannya. 

 

Sekuriti islamik tidak dinilai itu adalah bahagian kedua di bawah Program Sukuk Murabahah bernilai RM500 juta bagi 15 tahun, yang merupakan langkah pengumpulan modal menerusi patuh syariah bagi kumpulan yang pertama kali dilancarkan pada 2019.

 

Hasil terbitan sukuk ini akan digunakan untuk membiayai keperluan modal kerja dan perbelanjaan modal (capex) bagi pembangunan terminal baharu di Bidor, Perak. 

 

Sejajar dengan pelan pengembangan kumpulan, hab pengangkutan baharu, Bidor Sentral dijangka menjadi hab pengangkutan selatan Perak Transit di negeri ini. 

 

Pengarah Eksekutif Perak Transit, Datuk Cheong Peak Sooi berkata, terbitan sukuk itu dapat membantu kumpulan meneruskan pelan pertumbuhan dan memacu kecekapan harga menerusi kos pembiayaan yang lebih rendah.

 

Katanya, dengan sokongan UOB Malaysia dan AmBank Group, kumpulan mampu mengembangkan jaringan terminal pengangkutan awam bersepadu di negeri dan menghubungkannya dengan kawasan lain di seluruh Malaysia.

 

"Dengan projek ini, kami menyasarkan bukan sahaja untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang lebih baik dengan lebih meluas tetapi mampu memberi lebih nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

UOB Malaysia adalah Pengatur Utama dan Pengurus Utama Bersama bagi terbitan IMTN tersebut. AmBank Group juga bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama bagi terbitan ini.

 

Selain itu, UOB Malaysia merupakan Penasihat Prinsipal, Pengatur Utama, Pengurus Utama dan Ejen Fasiliti bagi keseluruhan program sukuk berkenaan. - DagangNews.com