KUALA LUMPUR 20 Sept - Peralihan kepada agenda hijau perlu dilakukan secara beransur-ansur kerana perubahan pantas berpotensi membawa kesan limpahan negatif seperti kehilangan pekerjaan.
Oleh itu kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan akan memastikan pelaksanaan dasar peralihan tenaga hijau yang lebih adil bagi memastikan pekerjaan rakyat terutama dalam industri berintensifkan karbon tidak terjejas.
Beliau berkata, kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan Asia Tenggara berpotensi berdepan kehilangan pekerjaan setengah juta dalam bahan api fosil menjelang 2050, namun pada masa sama ia berpotensi mewujudkan lima juta pekerjaan dalam tenaga boleh diperbaharui (RE).
"Kehilangan pekerjaan akibat peralihan ekonomi yang lebih hijau akan mempunyai kesan ketara kepada pasaran pekerjaan.
"Justeru, kerajaan perlu melaksanakan dasar peralihan yang adil untuk populasi yang terkesan," katanya semasa sesi panel bertajuk 'Accelerating Climate Action & Justice' pada 'The Cooler Earth Sustainability Summit 2022' dianjurkan CIMB Group di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata, peserta industri berintensifkan karbon di Malaysia telah mengambil langkah agenda peralihan tenaga hijau.
Beliau berkata, Petronas dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah menunjukkan komitmen mereka dengan menukar model perniagaan kepada tenaga lebih hijau.
Katanya, syarikat minyak dan gas nasional baru-baru ini telah melancarkan Gentari Sdn Bhd (GENTARI), entiti penyedia penyelesaian tenaga bersih.
Jelasnya, GENTARI menyasarkan menjadi penyedia penyelesaian tenaga bersih sehenti bersepadu, yang mana peluang pekerjaan baharu diwujudkan yang akan memanfaatkan pekerja sedia ada dan baharu.
TNB pula, katanya, telah menyatakan komitmen mereka untuk melabur RM20 bilion setahun dalam tempoh lebih 20 tahun akan datang untuk mempercepatkan peralihan tenaga.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Petronas mempunyai kira-kira 50,000 pekerja di seluruh dunia dengan kebanyakannya terbabit dalam segmen huluan dan hiliran minyak dan gas, sementara TNB pula mempunyai kira-kira 40,000 pekerja dan 3,200 vendor penjanaan tenaga.
Justeru, katanya, adalah penting untuk mengadakan dialog sosial membabitkan kerajaan, majikan dan pekerja dalam semua peringkat pembangunan dasar dengan mengambil kira jantina, perlindungan sosial, pembangunan kemahiran dan kesan kepada komuniti. - DagangNews.com