Peratusan rokok seludup kekal tinggi diparas 57.3% | DagangNews Skip to main content

Peratusan rokok seludup kekal tinggi diparas 57.3%

 


 

KUALA LUMPUR 7 Jan – Menurut Kajian Rokok Seludup Malaysia (ICS), pemerdagangan rokok seludup masih kekal tinggi diparas 57.3% pada Oktober 2021, walaupun menunjukkan penurunan sebanyak 6.5% berbanding 63.8% pada 2020.

 

Hasil kajian tersebut juga menunjukkan bahawa dua negeri teratas dengan jumlah peratusan rokok seludup tertinggi pada 2020, iaitu Sabah dan Sarawak, telah mencatatkan penurunan positif dari tahun ke tahun, iaitu kepada 81.2% (86.6%) dan 76.9% (82.2%) masing-masing.

 

Walaubagaimanapun, bukan semua negeri mencatatkan penurunan dan salah satu negeri yang mencatatkan sedikit peningkatan ialah Johor, dimana  kadar permedagangan rokok seludup telah meningkat kepada 46.5% pada Oktober 2021 daripada 46% sebelumnya.

 

Mengulas hasil kajian ICS, Pengarah Urusan Datametrics Research and Information Sdn Bhd (DARE), Pankaj C. Kumar berkata, keputusan ICS itu merupakan satu berita gembira, namun begitu ia  bukan masanya untuk ia diraikan.

 

“Penurunan tersebut menunjukkan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan sepanjang tahun 2021 menampakkan hasil yang positif. Namun, jika dilihat dari segi peratusan tersebut, ia masih menunjukkan yang rokok seludup menguasai lebih separuh daripada pasaran rokok tempatan.

 

“Malah, terdapat negeri yang masih berada di tahap kritikal dengan mencatatkan kadar pemerdagangan setinggi 81.2% di Sabah dan 76.9% di Sarawak. Dengan jumlah sebesar ini, negara masih menanggung kerugian dalam bentuk cukai eksais yang  tinggi dan ia bukan sesuatu yang harus dianggap sebagai perkara yang remeh” kata Pankaj.


 

Pankaj C. Kumar
                                      Pankaj C. Kumar

 


Dalam satu laporan yang diterbitkan oleh DARE pada Oktober 2021 bertajuk Memenangi Peperangan Di Dalam Pasaran Gelap Tembakau yang mendedahkan bahawa sindiket jenayah penyeludupan rokok mengaut keuntungan sebanyak RM8 bilion setahun dari segi keseluruhan hasil jualan rokok seludup di Malaysia, sementara Kerajaan kerugian kira-kira RM5 bilion dari segi hasil cukai eksais yang tidak dapat dikutip.

 

Laporan tersebut juga mengetengahkan keperluan menangani kemasukan rokok seludup di sepanjang pesisir pantai negara dan mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menangani amalan rasuah yang menghadkan keupayaan Malaysia untuk kekal berdaya saing.

 

“Pada Belanjawan 2021 kerajaan mengumumkan langkah tegas bagi membanteras perdagangan haram rokok seludup dengan mewujudkan undang-undang melarang transhipmen dan penggunaan bot kecil bagi mengeksport atau mengimport produk rokok serta pengukuhan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF).

 

“Usaha ini telah menampakkan hasil apabila berjaya menurunkan paras jualan rokok seludup buat pertama kalinya sejak 2015.

 

''Oleh yang demikian MATF perlu mempertingkatkan strategi agar peratusan tersebut terus mencatatkan penurunan untuk tahun-tahun berikutnya. Saya yakin jika MATF meneruskan kecemerlangannya kita boleh menyaksikan penurunan di bawah 50% untuk tahun 2022,” ujar Pankaj.

 

Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyeludup rokok. Gambar Batalion 5 Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam Johor Malaysia
Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyeludup rokok. Gambar Batalion 5 Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam Johor Malaysia

 


Pankaj yang juga merupakan penganalisis ekonomi dan kewangan menambah, Kerajaan harus berwaspasa terutamanya pada tempoh masa Monsun Timur Laut kerana hujan lebat dan banjir akan berlaku di kawasan timur semenanjung akan menyebabkan sempadan menjadi rapuh.

 

“Penjenayah penyeludupan akan menggunakan peluang ini di kala pihak berkuasa tertumpu kepada bencana untuk menjalankan aktiviti mereka. Kerajaan tidak boleh membiarkan kelopongan dalam kawalan sempadan berlaku di waktu seperti ini,” katanya.

 

Dalam pada itu, Pankaj memberitahu, selain daripada meneruskan kecemerlangan inisiatif Belanjawan 2021, Kerajaan juga harus mengekalkan moratorium cukai eksais dan memperkasakan penguatkuasaan, terutamanya di kawasan perairan agar kegiatan penyeludupan dapat dikekang.

 

Katanya, negara amat memerlukan segala sumber yang mampu untuk menambah pendapatan negara dan untuk pemulihan ekonomi secara keseluruhan terutama di kala pandemik dan bencana banjir besar yang melanda negara. – DagangNews.com