Perbankan digital akan terima permintaan tinggi di Malaysia, kata Fitch Solutions | DagangNews Skip to main content

Perbankan digital akan terima permintaan tinggi di Malaysia, kata Fitch Solutions

Perbankan digital adalah perkembangan positif bagi Malaysia, yang memberi manfaat kepada kedua-dua pengguna dan perusahaan

KUALA LUMPUR 9 Mei - Fitch Solutions Country Risk and Industry Research berkata perbankan digital akan menyaksikan permintaan tinggi di Malaysia, memandangkan banyak kelebihan yang ditawarkannya kepada pengguna dan perusahaan serta peningkatan celik digital negara.

 

Firma itu berkata, lima konsortium yang dianugerahkan lesen perbankan digital pertama negara berada pada kedudukan yang baik untuk meraih peluang pasaran, berdasarkan kekuatan dan keupayaan individu mereka.

 

“Namun begitu, kami tidak menjangkakan bank digital akan menimbulkan saingan kuat kepada bank tradisional dalam jangka pendek berikutan had kawal selia yang ditetapkan pada aktiviti mereka.

 

'Langkah mengadakan perbankan digital adalah perkembangan positif bagi Malaysia, yang memberi manfaat kepada kedua-dua pengguna dan perusahaan," kata firma itu dalam laporan pada 6 Mei lalu.

 

Fitch Solution berkata, pertama sekali, bank digital menawarkan perkhidmatan perbankan dan kewangan sepenuhnya dalam talian, tanpa memerlukan cawangan fizikal tradisional.

 

''Ini meningkatkan kemudahan bagi pengguna, yang semakin mencari kaedah pembayaran dan perbankan yang lebih pantas dan mudah.

 

''Kedua, bank digital akan memberi manfaat kepada perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerana mereka boleh menikmati akses yang lebih mudah kepada pinjaman, kadar pinjaman yang lebih kompetitif, dan kelulusan dan pengeluaran dana yang lebih cepat.

 

“Margin akan menjadi lebih menarik bagi bank digital kerana mereka tidak akan melabur banyak dalam infrastruktur fizikal dan manusia,'' kata firma itu.



 

BNM

 


Selain itu, apabila bank digital menggunakan analitik data untuk menjana cerapan berkenaan tingkah laku pengguna, perniagaan boleh memperoleh akses yang lebih baik kepada penyelesaian yang lebih diperibadikan untuk pengguna,” katanya.

 

Ketiga, firma itu berkata perbankan digital diletakkan lebih baik daripada saluran tradisional yang melayani segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan seperti pekerja ekonomi gig atau penduduk luar bandar, yang mungkin tidak mempunyai sejarah kredit untuk menerima pinjaman, untuk mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan kewangan yang lebih luas.

 

Ia berkata ini boleh membantu meningkatkan keterangkuman kewangan, dan sebenarnya merupakan salah satu objektif bank digital ditubuhkan di Malaysia.

 

Akhirnya, langkah itu meningkatkan persaingan dan pilihan pengguna dalam pasaran yang dikuasai oleh pemain perkhidmatan kewangan besar yang mempunyai sedikit insentif untuk membangunkan perkhidmatan yang lebih canggih dan mengurangkan kos kepada pengguna.

 

“Kami menjangkakan untuk melihat banyak inovasi dalam keluasan dan kerumitan perkhidmatan kewangan dalam tempoh 5-10 tahun akan datang.

 

“Risiko buruknya ialah tidak semua perniagaan baharu ini akan bertahan sehingga matang kerana pilihan model perniagaan yang lemah, kekurangan permodalan dan penguasaan hanya satu atau dua pemain boleh menyaksikan beberapa pelaburan gagal berjaya,” katanya. - DagangNews.com