Perbankan Islam boleh manfaatkan instrumen kewangan sosial - Mustapa | DagangNews Skip to main content

Perbankan Islam boleh manfaatkan instrumen kewangan sosial - Mustapa

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Institusi perbankan dan kewangan harus memainkan peranan dalam membangunkan semula negara tanpa bersandarkan ke bahu kerajaan semata-mata. 

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dalam hal ini, perbankan Islam mempunyai potensi yang besar untuk memanfaatkan instrumen kewangan sosial Islam seperti zakat, wakaf dan sedekah.

 

Katanya, instrumen ini tidak seharusnya terhad kepada penyediaan keperluan asas dan sara hidup golongan yang memerlukan atau untuk tujuan keagamaan seperti pembinaan masjid dan madrasah sahaja.

 

"Ia juga boleh dikembangkan untuk membangunkan kepada golongan asnaf dan masyarakat yang terkesan teruk ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu, bagi membolehkan mereka berdikari dan lebih berkemampuan dalam jangka masa panjang," katanya. 

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Inisiatif Kewangan Sosial Bank Islam 2020 secara maya hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr. Ismail Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd.
Muazzam Mohamed. 

 

Pada majlis itu, Bank Islam turut melancarkan Pembiayaan Mikro BangKIT iaitu inovasi pembiayaan mikro yang dibiayai oleh instrumen sedekah ini, merupakan inisiatif yang pertama seumpamanya di Malaysia. 

 

Menurut Mustapa, pandemik COVID-19 memberikan pengajaran yang amat berguna kepada kerajaan dan semua pihak khususnya dalam pendigitalan. 

 

"Jika dahulu untuk bersedekah kita perlu bersemuka tetapi kini sedekah boleh dilaksanakan melalui dalam talian seperti sadaqahouse.com, sebuah platform disediakan oleh Bank Islam," katanya.  

 

Malah katanya, program kewangan sosial di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pembiayaan Mikro iTEKAD, adalah contoh program khusus untuk membantu dan menyokong usahawan mikro B40 dan asnaf yang pendapatannya terjejas ekoran pandemik COVID-19.

 

"Kerajaan juga sedaya upaya berusaha menangani cabaran ini dengan mengimbangi keperluan untuk menjaga nyawa dan kelangsungan ekonomi.

 

"Pakej rangsangan ekonomi, pelan jana semula ekonomi (Penjana) dan Kita Prihatin telah meletakkan Malaysia ke kedudukan yang lebih kukuh untuk kembali pulih seperti sebelum pandemik ini melanda. 

 

Menurutnya, untuk rancangan jangka panjang, Belanjawan 2021 yang terbesar dalam sejarah juga telah menyediakan asas yang kukuh untuk Rancangan Malaysia Ke-12. - DagangNews.com