Perbelanjaan iklan bagi pasaran akhbar terus catat penurunan kepada 13.8% bagi suku kedua 2023, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan iklan bagi pasaran akhbar terus catat penurunan kepada 13.8% bagi suku kedua 2023, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Okt - Perbelanjaan iklan bagi pasaran akhbar terus mencatatkan penurunan kepada 13.8% pada suku kedua tahun ini berbanding 16.8% pada tahun lalu.

 

Kenanga Research berkata, data perbelanjaan iklan menunjukkan bahawa pengiklan lebih memihak kepada saluran digital dan tidak lagi memilih media cetak.

 

Katanya, keadaan itu menyaksikan media digital mengembangkan bahagian pasarannya kepada 22% pada suku kedua tahun ini berbanding 21.5% pada tahun lalu.

 

"Malangnya akhbar digital tidak dapat meraih kembali bahagian pasaran yang hilang.

 

"Prospek penerbit akhbar kekal suram memandangkan trend struktur di mana pengguna beralih kepada platform digital seperti media sosial, aplikasi dan laman web," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengiklan juga kekal berhati-hati terhadap perbelanjaan pemasaran memandangkan tekanan tekanan inflasi yang berterusan dan prospek ekonomi yang lembap.

 

Mereka mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan sebanyak 3.5% hingga 4% untuk Malaysia pada 2023 (2022: 8.7%,1H23: 4.2%).

 

Bedasarkan keadaan ini, kedua-dua pengguna dan perniagaan akan terus mengurangkan perbelanjaan mengikut budi bicara dan promosi, masing-masing.

 

Sementara itu, Kenanga Research percaya saluran TV berbayar juga berdepan cabaran berganda kerana berdepan saingan sengit daripada perkhidmatan OTT seperti Netflix dan Disney Hotstar selain kehilangan pelanggan kerana peningkatan kos sara hidup.

 

"Pendapatan boleh guna dijangka dihimpit lagi oleh rasionalisasi subsidi berterusan kerajaan dan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar.

 

"Ini dijangka memberi kesan kepada golongan M40 dan T20 yang terdiri daripada bahagian terbesar pelanggan saluran TV berbayar," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu memandangkan syarikat media kini mempunyai struktur kos yang lebih ketat berikutan pelaksanaan langkah penstrukturan semula dan pengoptimuman kos dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati kerana perbelanjaan iklan yang lemah dan trend peminggiran berterusan media cetak," katanya.- DagangNews.com