Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Sikap rakyat Malaysia yang masih berhati-hati dalam perbelanjaan terutama melibatkan barangan bukan keutamaan akan melemahkan aktiviti perbelanjaan pengguna meskipun ia semakin pulih.
Ini kerana menurut MIDF Research, mereka masih bimbang terhadap kedudukan kewangan pada masa akan datang dan juga prospek pasaran pekerjaan.
Pada masa sama, katanya, harga makanan dan minuman terutama barangan segar dijangka naik dalam beberapa bulan akan datang disebabkan musim perayaan.
"Walaupun pengguna mula berbelanja tetapi kami berpendapat peningkatan untuk perbelanjaan barangan kurang penting dan domestik akan mengambil masa untuk pulih.
"Peningkatan harga minyak pula dijangka kekal lembap ekoran meningkatkan kebimbangan terhadap permintaan apabila jangkitan COVID-19 semakin melonjak," katanya dalam nota kajian hari ini.
Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur kadar inflasi menguncup 1.5% kepada 120.2 pada Oktober 2020 berbanding 122.0 yang dicatatkan pada Oktober 2019.
Jabatan Perangkaan Malaysia dalam kenyataan hari ini menunjukkan ia meningkat 0.1% berbanding September 2020 berikutan peningkatan dalam Makanan & Minuman Bukan Alkohol (0.1%), Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.1%) dan Kesihatan (0.1%).
Secara keseluruhan, penurunan IHP pada Oktober 2020 dipengaruhi oleh penurunan indeks Pengangkutan (-10.2%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-3.0%) dan Pakaian & Kasut (-0.4%) yang menyumbang 41.6% daripada keseluruhan wajaran.
MIDF berkata, bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) buat masa ini tidak berdepan dengan tekanan untuk mengurangkan lagi kadar dasar semalaman (OPR).
"Pengurangan sebanyak 125 mata asas tahun ini dilihat mencukupi untuk menyokong dasar monetari akomodatif ekonomi negara," katanya. - DagangNews.com