Perbelanjaan pengguna lambat pulih dari jangkaan - MIDF | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan pengguna lambat pulih dari jangkaan - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Segmen perbelanjaan dalam kalangan pengguna akan memulih dengan lambat daripada jangkaan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih dilaksanakan di beberapa buah negeri. 

 

Ini terutamanya melibatkan barangan bukan keperluan, kata MIDF Research. 

 

“COVID-19 telah ‘menahan’ permintaan domestik memandangkan pengguna mengurangkan perbelanjaan dan berjimat kerana ketidaktentuan pada masa hadapan.

 

“Ini terbukti menerusi penguncupan dua digit dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi segmen berkenaan pada suku kedua 2020 (2Q20). 

 

“Walaupun kami percaya penurunan pada 2Q20 terutamanya disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun penggunaan akan meningkat secara beransur disokong oleh tekanan inflasi rendah, pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) dan pakej rangsangan ekonomi terutama menerusi langkah-langkah untuk rakyat,” kata MIDF dalam nota kajiannya. 

 

Hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan bahawa perdagangan borong dan runcit negara merudum sebanyak 0.8% pada Oktober 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

Baca : Perdagangan borong, runcit Oktober jatuh 0.8%

 

Pertumbuhan dalam jualan kenderaan tidak cukup untuk mengimbangi penurunan berkenaan.

 

Tambah MIDF, peningkatan semula kluster baharu COVID-19 mungkin mengehadkan aktiviti luar rakyat yang takut untuk keluar. 

 

Dalam pada itu, sektor perkhidmatan terutamanya melibatkan perhotelan dan penerbangan akan terus tertekan akibat penutupan sempadan antarabangsa. 

 

“Kami melihat perbelanjaan swasta dan sektor perkhidmatan masing-masing akan merosot -3.4% dan -4.5% pada tahun ini berbanding tahun lalu,” kata MIDF. - DagangNews.com