Perbena, raih kontrak RM485.99 juta di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Perbena, raih kontrak RM485.99 juta di Sarawak

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyampaikan Surat Anugerah kepada Pengarah Urusan Perbena, James Ling bagi kontrak bernilai RM485.99 juta, pada 10 Mac lalu. 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pansar Berhad memperoleh kontrak bagi mereka bentuk dan membina UNIMAS Teaching Hospital di Kota Samarahan, Sarawak bernilai RM485.99 juta. 

 

Kontrak itu diperoleh menerusi Perbena Emas Sdn Bhd (Perbena), yang kini dalam proses korporat menjadi anak syarikat milik penuh Pansar, khusus dalam kejuruteraan dan pembinaan. 

 

Dalam kenyataan hari ini, Perbena berkata, ini menjadikan nilai projek syarikat itu mencecah hampir RM2 bilion berbanding RM1.46 bilion pada Februari 2021.

 

Majlis pengumuman kontrak itu diadakan 10 Mac lalu di Kuala Lumpur dipengerusikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. 

 

Pada majlis itu, beliau menyampaikan Surat Anugerah kepada Pengarah Urusan Perbena, James Ling. 

 

Selain Perbena, terdapat lagi 3 kontrak turut diumumkan pada majlis itu menjadikan keseluruhannya bernilai RM600 juta merangkumi kerja-kerja infrastruktur dan bangunan bagi pelbagai institusi pendidikan di negara ini.

 

Perbena yang ditubuhkan 43 tahun lalu, mempunyai rekod yang baik dalam industri kejuruteraan awam dan pembinaan dengan nilai projeknya kini melebihi RM5 bilion.

 

Antara projek yang dijalankan termasuklah universiti, hospital, pusat beli-belah, kilang semikonduktor, kemudahan minyak dan gas, loji rawatan sisa, lebuh raya dan kerja-kerja infrastruktur. 

 

Sementara itu, Pansar yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan infrastruktur di negara ini lebih 60 tahun. - DagangNews.com