Perbicaraan Abdul Karim ditetapkan untuk pengurusan kes pada 28 Feb  | DagangNews Skip to main content

Perbicaraan Abdul Karim ditetapkan untuk pengurusan kes pada 28 Feb 

KUALA LUMPUR 28 Jan - Perbicaraan Pengarah Urusan dan Ketua pegawai eksekutif Serba Dinamik Holdings Bhd., Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah berhubung memberi kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia telah ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 28 Februari ini di Mahkamah Sesyen.

 

Difahamkan, semasa pengurusan kes diadakan pada Khamis (27 Januari), Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh pengurusan kes seterusnya untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen kepada pasukan pembelaan tertuduh.

 

Suruhanjaya Sekuriti (SC) diwakili timbalan pendakwa raya, Muhammad Izzat Fauzan manakala Abdul Karim diwakili Wan Aizuddin Wan Mohammed daripada Messrs Shafee & Co.

 

Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah menetapkan dokumen yang akan digunakan dalam perbicaraan hendaklah diberikan kepada tertuduh sebelum perbicaraan dimulakan.

 

Sebulan sebelum itu, SC mendakwa Abdul Karim berhubung kenyataan palsu Serba Dinamik kepada Bursa Malaysia.

 

Beliau dalam kapasitinya sebagai pengarah syarikat minyak dan gas, didakwa mengikut Seksyen 369 (a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) berhubung kenyataan palsu yang terkandung dalam laporan sukuan syarikat bagi suku berakhir 31 Disember 2020. 

 

Memandangkan Abdul Karim adalah pengarah kumpulan itu, beliau disifatkan melakukan kesalahan berkenaan di bawah Seksyen 367(1) CMSA, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 369 akta yang sama.

 

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan menuntut dibicarakan. Jika sabit kesalahan, Abdul Karim boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM3 juta.

 

SC dalam kenyataan bertarikh 28 Disember 2021 berkata, kenyataan palsu yang dikemukakan kepada Bursa adalah berhubung angka hasil RM6.014 bilion yang terkandung dalam laporan suku tahunan berkenaan. - DagangNews.com