KUALA LUMPUR 13 Mac - Perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan nilai jualan RM135.1 bilion, tumbuh 12.4% pada Januari tahun ini berbanding bulan sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM10.6 bilion atau 21.7% kepada RM59.6 bilion.
Tambahnya, kenderaan bermotor juga berkembang 20.1% atau RM2.5 bilion kepada RM15.2 bilion.
"Dalam tempoh yang sama, perdagangan borong meningkat 3.1% atau RM1.8 bilion kepada RM60.4 bilion.
"Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit menurun -1.6% terutamanya disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang merosot -13.4%," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Mohd Uzir berkata, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 21.7% pada Januari disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 24.6% atau RM4.5 bilion kepada RM22.7 bilion.
Menurutnya, kumpulan lain dalam subsektor itu turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (29.1%), jualan runcit bahan api kenderaan (45%), jualan runcit barangan isi rumah (10.9%), jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (17.5%), jualan runcit peralatan komunikasi dan maklumat (6.4%), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (10.9%), jualan runcit di gerai dan pasar (19.8%) serta jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (0.4%).
Tambahnya, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 0.2%
“Pertumbuhan 20.1% dalam subsektor kenderaan bermotor pada bulan ini disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 25% atau RM1.5 bilion kepada RM7.7 bilion.
“Ini diikuti oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor (15.9%), penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (16.8%) dan jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (12.1%).
Walau bagaimanapun, menurutnya, bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini menurun sebanyak -13.4%, dipengaruhi oleh penurunan jualan kenderaan bermotor yang merosot -23.4%," katanya.
Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, Mohd Uzir berkata kenaikan 3.1% disumbangkan oleh jualan borong barangan isi rumah yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM1 bilion atau 8.6% kepada RM12.8 bilion.
Menurutnya, ini diikuti oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau (7.6%) dan jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (12.8%).
“Sebaliknya, lain-lain pengkhususan jualan borong dan jualan borong jentera, peralatan dan bekalan masing-masing merekodkan penurunan -2.8% dan -4.0%,” katanya.
Bagi perbandingan bulanan, tambahnya, perdagangan borong meningkat 0.1% yang disumbangkan terutamanya oleh jualan borong barangan isi rumah yang meningkat 4.4% atau RM500 juta kepada
RM12.8 bilion.
Mohd Uzir turut memaklumkan, indeks jualan runcit melalui internet pada Januari 2023 merekodkan pertumbuhan 9.6% tahun ke tahun dan bagi pelarasan musim, ia turut meningkat 1.3% berbanding bulan sebelum. - DagangNews.com