KUALA LUMPUR 20 Feb - Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum peningkatan pada Januari 2023 dengan perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai bulanan tertinggi.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini berkata, perdagangan berkembang 1.9% tahun ke tahun kepada RM207.51 bilion dengan eksport meningkat 1.6% kepada RM112.84 bilion dan import meningkat 2.3% kepada RM94.67 bilion.
MITI berkata, lebihan dagangan berjumlah RM18.16 bilion, turun 2.1% yang merupakan lebihan dagangan yang ke-33 bulan berturut-turut dicatatkan sejak Mei 2020.
Katanya, pertumbuhan eksport disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG) serta barangan elektrik dan elektronik (E&E).
"Eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit. Berbanding Disember 2022, perdagangan, eksport, import danlebihan dagangan masing-masing menurun 11.8%, 14.4%, 8.6% dan 35.5% disebabkan bilangan hari berkerja yang singkat dan cuti perayaan yang panjang," katanya.
Menurut kenyataan itu, pada Januari 2023, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 84.2% daripada jumlah eksport menyusut secara marginal sebanyak 1% tahun ke tahun kepada RM94.97 bilion berikutan eksport yang lebih rendah bagi barangan perkilangan logam, keluaran getah serta barangan besi dan keluli.
Walau bagaimanapun, kenaikan eksport dicatatkan bagi keluaran petroleum, barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta barangan minuman dan tembakau.
"Secara kolektif, eksport keluaran petroleum dan barangan E&E menyumbang 52.2% kepada jumlah eksport Malaysia dan meningkat sebanyak RM7.66 bilion," katanya.
Menurut MITI, eksport hasil galian (9.1% syer) melonjak 50.1% tahun ke tahun kepada RM10.23 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-22 bulan berturut-turut, disumbangkan oleh peningkatan eksport LNG.
Eksport keluaran pertanian (6.2% syer) turun 19.8% kepada RM7.01 bilion berbanding Januari 2022 disebabkan oleh eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang lebih rendah.
Perbandingan bulan ke bulan, eksport hasil galian naik 5.8%, manakala eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing menyusut 14% dan dan 36.4%.
Sementara itu, MITI berkata, pada Januari 2023, perdagangan dengan ASEAN menyumbang 26.6% kepada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 5.6% tahun ke tahun kepada RM55.26 bilion.
Eksport berkembang sebanyak 10.7% kepada RM34.1 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-18 bulan berturut-turut, yang disumbangkan oleh peningkatan eksport keluaran petroleum dan barangan E&E.
"Bagaimanapun, import dari ASEAN menurun 1.8% kepada RM21.16 bilion. Eksport ke pasaran utama ASEAN yang merekodkan pertumbuhan adalah Singapura yang berkembang sebanyak RM2.86 bilion, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E dan Thailand meningkat RM431.4 juta, yang disumbang keluaran petroleum," katanya.
Berbanding Disember 2022, perdagangan, eksport dan import masing-masing susut 11.6%, 10.3% dan 13.6%.
Pada Januari 2023, perdagangan dengan China yang merangkumi 17.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia menguncup 7.9% tahun ke tahun kepada RM37.1 bilion.
Katanya, eksport ke China bernilai RM14.98 bilion, turun 11.9% berikutan penyusutan eksport barangan besi dan keluli serta keluaran petroleum.
Bagaimanapun, kenaikan eksport telah direkodkan bagi kimia dan bahan kimia serta barangan E&E.
"Import dari China berkurangan 4.9% kepada RM22.3 bilion. Berbanding Disember 2022, perdagangan, eksport dan import masing-masing merosot 11.7%, 16.6% dan 8.1%," katanya.
Perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) pada Januari 2023, yang merangkumi 9% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 1.2% tahun ke tahun kepada RM18.72 bilion dengan eksport berjumlah RM12.5 bilion, menyusut secara marginal sebanyak 6% disebabkan eksport yang lebih rendah bagi barangan besi dan keluli, barangan kayu serta keluaran getah.
Bagaimanapun, pengurangan ini telah diimbangi oleh peningkatan eksport barangan E&E, keluaran petroleum serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
"Import dari AS naik 4.7% kepada RM6.67 bilion dan untuk perrbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing menguncup sebanyak 16.8%, 22% dan 5.3%," katanya.
MITI berkata, pada Januari 2023, perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang mewakili 8.2%daripada jumlah perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 3.5% tahun ke tahun kepada RM17.09 bilion.
Eksport meningkat 1.4% kepada RM9.35 bilion, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan perkilangan logam serta jentera, kelengkapan dan peralatan manakala import dari EU mengembang 6.1% kepada RM7.74 bilion.
Dalam pada itu, perdagangan dengan Jepun yang merangkumi 6.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 8.8% tahun ke tahun kepada RM14.09 bilion manakala eksport meningkat 13.2% kepada RM8.19 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-23 bulan berturut-turut dan disokong oleh pertambahan eksport LNG.
"Import dari Jepun berkembang 3.2% kepada RM5.9 bilion," katanya.
Tambah kenyataan itu, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang menyerap 68.2% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 9% tahun ke tahun kepada RM141.46 bilion manakala eksport kr rakan dagang FTA naik 3.9% kepada RM80.3 bilion dan import berkurang 2.6% kepada RM61.44 bilion.
Peningkatan eksport telah direkodkan ke Australia, yang naik sebanyak 27.8% kepada RM3.63 bilion dan eksport ke New Zealand melonjak 176% kepada RM821 juta, disokong oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum.
Sementara itu, tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 70.3% adalah barangan pengantara, barangan modal dan barangan penggunaan.
Barangan pengantara bernilai RM48.56 bilion atau 51.3% daripada jumlah import, mengurang 3.9% berikutan penurunan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan.
"Barangan modal, bernilai RM9.7 bilion atau 10.2% daripada jumlah import, menurun 1.7% disebabkan oleh penyusutan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan, manakala barangan penggunaan, bernilai RM8.25 bilion atau 8.7% daripada jumlah import, menyusut 4.7% hasil pengurangan import barangan tahan lama," katanya. - DagangNews.com