Perdagangan Malaysia capai RM1 trilion pada separuh pertama 2021 - MITI | DagangNews Skip to main content

Perdagangan Malaysia capai RM1 trilion pada separuh pertama 2021 - MITI

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Eksport Malaysia pada Jun mencatat pertumbuhan kukuh buat bulan ke-10 berturut-turut sejak September 2020 dengan berkembang 27.2% kepada RM105.47 bilion.

 

Ini merupakan kali ketiga nilai eksport melebihi RM100 bilion direkodkan, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini.

 

"Import pula naik 32.1% kepada RM83.23 bilion dan lebihan dagangan berkembang 11.7% kepada RM22.24 bilion. 

 

"Perdagangan, eksport dan import merekodkan nilai bulanan kedua tertinggi setakat ini selepas April 2021 dan merupakan nilai bulanan tertinggi dicatatkan bagi Jun dan pertumbuhan 2 digit bagi 5 bulan berturut-turut," katanya.

 

Secara keseluruhan, prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum kenaikan pada Jun 2021 dengan jumlah perdagangan meningkat 29.3% kepada RM188.7 bilion berbanding Jun 2020. 

 

 

Sumber : MITI

 

 

Menurut MITI, pertumbuhan eksport disumbangkan oleh permintaan yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E) khasnya litar bersepadu elektronik yang digunakan dalam pengeluaran telefon pintar, kereta, komputer dan kelengkapan rumah serta keluaran getah. 

 

Eksport ke kesemua pasaran utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan 2 digit.

 

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing meningkat sebanyak 10.4%, 14.3%, 5.9% dan 61.7%. 

 

 

Sumber : MITI

 

 

Sementara itu, bagi separuh pertama 2021, kementerian itu berkata, jumlah perdagangan Malaysia telah melepasi RM1 trilion, sekali gus menunjukkan tempoh tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai tanda aras ini. 

 

Dalam tempoh ini, perdagangan bernilai RM1.056 trilion, berkembang 26% berbanding tempoh sama tahun lepas. 

 

"Eksport naik 30.2% kepada RM585.56 bilion dan import meningkat 21.1% kepada RM470.53 bilion. 

 

"Ini merupakan nilai separuh tahun yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan, eksport dan import manakala lebihan dagangan melonjak 87.7% kepada RM115.04 bilion," jelasnya. 

 

Pada Jun 2021, eksport bagi ketiga-tiga sektor telah merekodkan pertumbuhan kukuh 2 digit berbanding bulan sama tahun lepas. 

 

Eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.6% daripada jumlah eksport, meningkat 25.8% tahun ke tahun kepada RM91.3 bilion dan merupakan pertumbuhan 2 digit bagi bulan ke-7 berturut-turut. 

 

Malah, eksport yang meningkat melebihi RM1 bilion telah direkodkan bagi keluaran petroleum, barangan E&E, keluaran getah, kimia dan bahan kimia, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam. - DagangNews.com