Perdagangan Malaysia susut 7.3% kepada RM2.6 trilion pada 2023 – MITI | DagangNews Skip to main content

Perdagangan Malaysia susut 7.3% kepada RM2.6 trilion pada 2023 – MITI

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Jumlah perdagangan Malaysia menyusut 7.3% kepada RM2.637 trilion pada 2023 diheret oleh permintaan global lebih perlahan, harga komoditi lebih rendah, ketidaktentuan geopolitik, kadar inflasi yang tinggi dan kitaran menurun dalam sektor semikonduktor.

 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, eksport menguncup 8% kepada RM1.426 trilion bagi tahun dalam tinjauan, manakala import susut 6.4 % kepada RM1.212 trilion berbanding 2022.

 

Malaysia melaporkan penurunan eksport petroleum, elektrik dan elektronik (E&E), perkilangan berasaskan minyak sawit serta bahan kimia dan produk kimia.

 

"Eksport Malaysia pada 2023 didominasi oleh produk E&E yang menyumbang 40.4% bahagian daripada jumlah eksport, mencatatkan penguncupan berbanding tahun sebelumnya.

 

"Meskipun sektor semikonduktor global dalam kitaran menurun, eksport peranti semikonduktor dan litar bersepadu (IC) negara mencapai pertumbuhan positif," katanya.

 

Malaysia terus mencatat lebihan dagangan untuk tahun ke-26 berturut-turut sejak 1998, berjumlah RM214.1 bilion.

 

Menurut MITI, landskap ekonomi global yang mencabar pada 2023 telah memberi kesan buruk kepada perdagangan antarabangsa termasuk prestasi perdagangan Malaysia yang mengalami penguncupan.

 

Ini adalah sejajar dengan rakan dagangan utama lain terutamanya China, Taiwan RoC, Republik Korea dan Indonesia yang turut mencatat pertumbuhan perdagangan negatif.

 

"Walaupun prestasi eksport lemah, tahun 2023 menyaksikan pertumbuhan eksport Malaysia ke pasaran baharu muncul terutamanya Kenya, Brazil, Nigeria, Tanzania, Yaman, Maghribi, Puerto Rico, Namibia dan Kyrgyzstan.

 

"Sementara itu, eksport ke pasaran Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terpilih mencatat pengembangan iaitu Republik Korea (ROK), Australia, Mexico, Türkiye dan New Zealand walaupun eksport keseluruhan kepada rakan kongsi FTA menurun," tambahnya.

 

Pada 2023, rakan dagangan utama Malaysia adalah ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun, mewakili 67.7% bahagian daripada jumlah perdagangan Malaysia.

 

China terus menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, merangkumi 17.1% bahagian daripada jumlah perdagangan Malaysia, namun perdagangan dengan China susut 7.3% kepada RM450.84 bilion berbanding tahun sebelumnya.

 

China merupakan sumber import terbesar Malaysia dengan 21.3% bahagian daripada jumlah import.

 

Bagi perdagangan dengan AS, rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia sejak tahun 2015, telah merosot 6.5% kepada RM250.25 bilion berbanding 2022 dan membentuk 9.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia.  - DagangNews.com