Perdana Menteri arah kementerian, agensi berkaitan tingkatkan penggunaan sumber air bawah tanah | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri arah kementerian, agensi berkaitan tingkatkan penggunaan sumber air bawah tanah

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat keempat Majlis Air Negara (MAN), hari ini.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan kementerian dan agensi berkaitan untuk meningkatkan penggunaan sumber air bawah tanah dan air hujan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat.

 

Beliau berkata, ia juga adalah bagi kegunaan kawasan pedalaman, pengairan serta sistem kumbahan

 

Katanya, penggunaan sumber air alternatif yang murah dan mudah didapati itu perlu diambil kira dalam pembangunan infrastruktur serta bangunan baharu seperti yang dilaksanakan di kebanyakan negara bagi menjimatkan kos penggunaan air terawat.

 

"Penggunaan air bawah tanah di Malaysia ketika ini dilaporkan kurang daripada 3% berbanding negara lain, walaupun negara mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu.

 

"Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan besar sebanyak RM393 bilion untuk memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa selama 50 tahun.
 

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM15 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek tebatan banjir mulai tahun 2023 sehingga 2030," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat keempat Majlis Air Negara (MAN), hari ini. 

 

pm

 

Mesyuarat berkenaan dihadiri menteri-menteri Persekutuan; menteri-menteri besar; ketua-ketua menteri; Ketua Setiausaha Negara; Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan ketua-ketua jabatan serta agensi berkaitan.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bercadang untuk membina lebih banyak struktur sabo di seluruh negara dalam usaha untuk mengurangkan risiko banjir puing seperti mana yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini.

 

Beliau berkata, struktur sabo dibina merentasi alur sungai, berfungsi menahan puing termasuk bongkah batuan, lumpur dan kayu-kayan, sekali gus memperlahankan aliran air serta mengurangkan impak yang dibawa arus deras terutamanya selepas hujan lebat. 

 

"Setakat ini struktur sabo sedang dibina di Yan, Kedah dan bakal dibina di Baling serta Janda Baik, Pahang dalam tempoh terdekat," katanya. - DagangNews.com