Perdana Menteri arahkan menteri segera batalkan cuti, bantu rakyat dalam kesusahan | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri arahkan menteri segera batalkan cuti, bantu rakyat dalam kesusahan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa melawat mangsa bajir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia.

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan barisan Menteri Kabinetnya untuk membatalkan cuti masing-masing untuk bersama-sama membantu rakyat yang ditimpa musiban banjir ketika ini.

 

Beliau berkata, kepada menteri yang belum bercuti diminta untuk membatalkan cuti mereka segera.

 

"Mana yang berada di luar negara diharap dapat balik segera supaya dapat bersama-sama dengan rakyat yang sedang dalam kesusahan," katanya.

 

Terdahulu Perdana Menteri meluangkan masa melawat mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mentakab.

 

Beliau yang tiba pada pukul 10.45 pagi meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk mendengar taklimat mengenai situasi banjir di daerah itu, serta bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.

 

Terdapat 938 mangsa daripada 336 keluarga masih mendapatkan perlindungan di SJKC Mentakab, berikutan banjir di kawasan masing-masing belum surut sepenuhnya.

 

pm

 

Beliau kemudian bergerak ke Karak untuk melawat sebuah lagi PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju menyalurkan peruntukan secara terus sebanyak RM50 juta kepada dua negeri iaitu Pahang dan Selangor yang terjejas teruk akibat banjir manakala negeri-negeri lain yang terjejas akan menerima peruntukan berdasarkan kerosakan yang berlaku.  

 

pm

 

Beliau berkata, dana dari kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca banjir sebanyak RM75.8 juta. 

 

Beliau berkata, bagi pasca banjir seperti kerja pembersihan rumah, GLC dan GLIC akan diminta untuk menggerakkan program bantu keluarga yang terkesan seperti kerja pembersihan dan sebagainya.

 

"Saya amat sedih dan bersimpati dengan mereka yang terkorban ketika bencana banjir. Sebagai tanda prihatin, kerajaan akan salur sumbangan RM10,000 kepada waris mangsa-mangsa banjir yang meninggal dunia di bawah Bantuan Wang Ihsan. 

 

pm

 

"Pengagihan Bakul Makanan kepada mangsa banjir oleh Ahli Parlimen bagi kawasan yang terjejas akan dilakukan dengan peruntukan RM100 bagi setiap isi rumah  dan bilangan isi rumah yang terjejas berdasarkan kepada statistik NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara).

 

"Sebelum ini, saya dah umumkan RM1,000 bagi setiap isi rumah dan ada negeri seperti Melaka sudah mula agih bantuan ini kepada mangsa banjir.

 

Perdana Menteri berkata, selain penyambungan kemudahan utiliti seperti air dan elektrik segera, saya akan arahkan Kementerian Multimedia dan Komunikasi untuk mempercepatkan pemulihan telekomunikasi di kawasan terjejas. 

 

Beliau berkata, ia bagi membolehkan ahli keluarga ketahui status ibu bapa, sanak saudara melalui panggilan video dan sebagainya. - DagangNews.com