Perdana Menteri luangkan masa lawat mangsa banjir di PPS SJKC Mentakab | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri luangkan masa lawat mangsa banjir di PPS SJKC Mentakab

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa melawat mangsa banjir di SJKC Mentakab, hari ini. - Gambar- BERNAMA

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mentakab, hari ini.

 

Beliau yang tiba pada pukul 10.45 pagi meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk mendengar taklimat mengenai situasi banjir di daerah itu, serta bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.

 

Terdapat 938 mangsa daripada 336 keluarga masih mendapatkan perlindungan di SJKC Mentakab, berikutan banjir di kawasan masing-masing belum surut sepenuhnya.

 

Menurut data Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, setakat pukul 8 pagi tadi terdapat 12,663 mangsa banjir daripada 3,629 ditempatkan di 79 PPS di seluruh daerah Temerloh.

 

Perdana Menteri seterusnya bergerak ke Karak untuk melawat sebuah lagi PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia.

 

Dalam pada itu, mangsa banjir yang ditemui Bernama di SJKC Mentakab berkata Perdana Menteri sempat bertanya mengenai kebajikan mereka di PPS berkenaan dan berkongsi rasa simpati atas bencana yang menimpa.

 

Dalam pada itu, tinjauan di sekitar bandar Temerloh mendapati keadaan semakin pulih dengan beberapa jalan utama sudah dibuka untuk kenderaan manakala sebahagian bandar Mentakab masih ditenggelami air. - DagangNews.com