Perdana Petroleum catat untung bersih RM11.41 juta pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Perdana Petroleum catat untung bersih RM11.41 juta pada suku ketiga

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Nov - Untung bersih Perdana Petroleum Bhd. meningkat kepada RM11.41 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 berbanding RM3.12 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu meningkat kepada RM69.43 juta daripada RM54.17 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Peningkatan itu terutamanya disumbangkan menerusi kadar penggunaan kapal yang lebih tinggi pada 82% berbanding 71% pada suku ketiga 2021, susulan peningkatan kadar sewaan dan arahan kerja serta kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) apabila harga minyak menggalakkan.

 

Ini menyaksikan pendapatan bagi tempoh sembilan bulan meningkat kepada RM141.4 juta daripada RM109.57 juta apabila kadar penggunaan kapal lebih tinggi pada 59% berbanding 49% bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh itu, ia menyaksikan kerugian bersih kumpulan mengecil kepada RM9.13 juta daripada RM63.5 juta memandangkan terdapat pembalikan bagi kerugian rosot nilai ke atas penghutang sebanyak RM1.4 juta, caj susut nilai yang lebih rendah (RM43.4 juta berbanding RM60.9 juta) dan kerugian tukaran asing tidak direalisasi sebanyak RM14.8 juta.

 

Malah, tiada peruntukan bagi kerugian rosot nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan dalam tempoh semasa, berbanding RM22.9 juta yang disediakan dalam tempoh sama tahun lepas.

 

Perdana Petroleum berkata, kumpulan kekal berhati-hati tetapi optimis dengan mengambil kira prospek yang tidak menentu disebabkan dinamik geopolitik dan peningkatan inflasi meskipun terdapat peningkatan dalam penggunaan dan kadar sewa bagi segmen penyewaan luar pesisir Industri Minyak dan Gas pada 2022.

 

"Melangkah ke hadapan, kami akan memanfaatkan kekuatan dan kecekapan kami yang lebih baik untuk kekal mampan dan relevan dalam jangka masa panjang," jelasnya. - DagangNews.com