KUALA LUMPUR 14 Feb - Perdana Petroleum Berhad menerusi anak syarikatnya, Perdana Nautika Sdn Bhd (PNSB) telah menerima kontrak bernilai RM22.1 juta untuk menyediakan sebuah tongkang kerja penginapan (AWB).
Surat anugerah yang diberikan oleh penyewa tongkang, Saujana Marine Sdn Bhd (SMSB) pada 26 Disember 2023 adalah bagi tempoh 240 hari bermula 15 Januari 2024 dengan pilihan lanjutan sehingga 30 hari dari tarikh permulaan.
Perdana Petroleum berkata, nilai kontrak berkenaan tidak termasuk tempoh pilihan lanjutan.
“PNSB perlu menyediakan satu unit AWB dengan krew dan peralatan untuk melaksanakan perkhidmatan berterusan mengikut skop kerja yang dipersetujui untuk membantu aktiviti projek SMSB,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Perdana Petroleum menjangkakan kontrak tersebut menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Tambahnya, kontrak itu tidak akan mempunyai kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham PPB.
Saham Perdana Petroleum ditutup kekal pada 27.5 sen hari ini, menilai permodalan pasaran kumpulan sebanyak RM610.6 juta. - DagangNews.com