Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Okt. - Pergerakan penumpang domestik yang dicatatkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melonjak 74% pada September berbanding bulan sebelumnya, dipacu oleh kejayaan gelembung pelancongan Langkawi serta kemajuan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
MAHB berkata, jumlah pergerakan penumpang bagi Malaysia meningkat 55% kepada 458,000 penumpang bulan lalu.
“Pergerakan pesawat domestik meningkat kira-kira 20% bulan lepas serta berbanding dengan Ogos, mencatatkan lebih 10,000 penerbangan.
"MAHB optimis bahawa aliran perjalanan yang menggalakkan akan terus berlanjutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan antara negeri dan sekatan perjalanan antarabangsa
ditarik balik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, semasa pelaksanaan awal gelembung pelancongan Langkawi pada 16 hingga 29 Sept, 2021, pihaknya mencatatkan pergerakan penumpang berjumlah 37,000.
“Syarikat penerbangan tempatan juga meraih manfaat daripadanya apabila AirAsia mencatatkan pergerakan pesawat terbanyak dengan 176 penerbangan dan menguasai faktor tempat duduk purata pada 64% bagi tempoh yang sama.
“Aliran meningkat ini didorong lagi dengan penarikan balik Perintah Kawalan Pergerakan bagi perjalanan antara negeri bulan ini, kecuali yang masih berada di bawah
Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD),” jelasnya.
Sementara pengendali lapangan terbang itu berkata, bagi aset di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul merekodkan 2.7 juta pergerakan penumpang pada September, kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah pergerakan penumpang MAHB sebanyak 3.2 juta penumpang bulan lepas.
“ISG terus menunjukkan pemulihan yang kukuh, dipacu oleh kadar pemberian vaksin yang pesat dan kelonggaran sekatan sempadan di Eropah. Turki, yang menjadi
antara negara teratas dari segi akses kepada vaksin, mengunjurkan negaranya mencapai kadar vaksinasi yang tinggi seterusnya mencapai imuniti awam pada akhir
2021.
“Tidak hanya 74.5% daripada jumlah penduduknya telah menerima suntikan vaksin malah Turki akan melaksanakan pengeluaran besar-besaran vaksin COVID19 yang dibangunkannya sendiri, Turkovac, bulan ini sekali gus menggiatkan lagi usahanya untuk kembali normal,” menurut MAHB. -DagangNews.com