Pergerakan ringgit ditentukan pasaran, jelas Gabenor BNM | DagangNews Skip to main content

Pergerakan ringgit ditentukan pasaran, jelas Gabenor BNM

Ekonomi negara telah berkembang sebanyak 8.9% pada suku kedua. - Gambar : Megat Irfan/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Sept - Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau dengan rapi dan memastikan
pasaran kewangan terus teratur dalam keadaan perkembangan luaran yang telah menyebabkan dolar Amerika Syarikat (AS) terus kukuh berbanding dengan hampir semua mata wang, termasuk ringgit. 

 

Pengukuhan dolar AS dengan ketara ini disebabkan oleh dasar monetari di AS yang diperketat secara agresif.

 

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam kenyataan hari ini berkata, pergerakan ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran. 

 

Jelasnya, pasaran pertukaran asing berfungsi dan mengantara dengan berkesan yang menyaksikan jumlah urus niaga pertukaran asing harian tempatan meningkat hingga mencapai purata semasa sebanyak AS$13.3 bilion berbanding AS$11.3 bilion pada 2021 berikutan aliran pertukaran dua hala.

 

"Aktiviti pasaran bon kekal kukuh, disokong mantap oleh pelabur institusi dan institusi kewangan. 
"Operasi pasaran BNM akan memastikan keadaan mudah tunai yang mencukupi dan pasaran kewangan berfungsi dengan teratur," katanya. 

 

 

Nor Shamsiah Mohd Yunus
Nor Shamsiah Mohd Yunus

 

 

Keadaan kewangan global yang lebih ketat dan ketidaktentuan yang lebih ketara dalam pasaran pertukaran asing dijangka tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

 

Ekonomi negara telah berkembang sebanyak 8.9% pada suku kedua dan akan terus didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik dan aktiviti pelancongan yang semakin giat. 

 

Eksport disokong oleh produk dan pasaran negara yang sangat pelbagai. Sistem kewangan domestik mempunyai tahap permodalan yang kukuh dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi. Pengantaraan kewangan juga terus menyokong ekonomi.

 

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, Malaysia kekal sebagai ekonomi terbuka dengan keutamaan dasar pada masa ini adalah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

 

Ia juga bagi mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi dalam negeri melalui pembaharuan struktur dan bukannya dengan melaksanakan kawalan modal atau menambat semula ringgit. 

 

"Hal ini akan memberikan sokongan yang lebih berterusan untuk ringgit," jelas beliau. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Sejak akhir-akhir terdapat beberapa pihak mempertikaikan tindakan kerajaan dalam berdepan kelemahan ringgit ketika ini, antaranya termasuklah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Bahkan, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu secara terbuka membidas kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, yang dilihatnya tidak memandang semua isu membelenggu negara ketika ini termasuk inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kemerosotan nilai ringgit sebagai sesuatu yang penting.

 

Pada Rabu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan kerajaan melalui BNMtidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar AS pada masa ini kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian yang besar.

 

Beliau berkata, seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi 'rujukan' atau asas bagi tambatan ringgit.

 

Dalam dagangan pagi tadi, ringgit mencatat prestasi rendah sedikit berbanding dolar AS dengan susut kepada RM4.5670/5710 berbanding penutupan semalam pada RM4.5660/5695. - DagangNews.com